PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan bagi mengurangkan beban rakyat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan cadangan tersebut akan dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada waktu terdekat ini.
Katanya, kerajaan sedang mengemukakan kertas cadangan mengenainya kepada bank komersial dan arahan lanjut akan dikeluarkan oleh Bank Negara.
“Kadar faedah yang ditawarkan itu haruslah kompetitif, kita sudah menjalankan kajian perbandingan dengan negara lain dan kadar faedah kita berada di pertengahan antara negara maju dan negara membangun.
“Jika kadar faedah pinjaman perumahan dapat diturunkan, maka beban pembeli rumah dapat dikurangkan juga, bagaimanapun keputusan itu adalah tertakluk kepada Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Mengenai Isu-Isu Perumahan di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Sebagai perbandingan, buat ketika ini, kadar pinjaman asas (BLR) di Malaysia ditetapkan pada 4.65 peratus manakala kadar di Singapura pada 1.45 peratus dan Australia 5.33 peratus.
Ahmad Zahid berkata, berdasarkan bidang kuasa di bawah Bank Negara, bank-bank komersial perlu mematuhi segala ketetapan yang ditentukan bank Pusat itu mengenai perkara tersebut.
“Kadar faedah yang tinggi antara penyebab isu banyak rumah tidak terjual dan ramai bakal pembeli rumah tidak mempunyai slip gaji serta pendapatan tetap bulanan yang mencukupi untuk membeli rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan amat prihatin dalam soal pemilikan rumah oleh rakyat malah memperkenalkan kaedah Sewa Untuk Milik yang merupakan kaedah alternatif untuk membantu pemohon atau bakal pembeli unit Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Katanya, Bank Negara juga akan membangunkan pangkalan data bersepadu untuk melaksanakan inisiatif berpusat bagi rumah mampu milik serta menjadikan sewaan rumah kediaman sebagai alternatif yang boleh dilaksanakan.
Sementara itu, katanya, keputusan dibuat untuk mengkaji semula pembekuan sementara kelulusan projek hartanah perumahan bernilai RM1 juta kerana peratusan rumah tidak dijual adalah berharga di bawah julat RM250,000 sehingga RM500,000 iaitu sebanyak 65.17 peratus.
- Utusan Online
Kerajaan Cadang Turun Faedah Pinjaman Perumahan
Reviewed by Unknown
on
January 26, 2018
Rating:

No comments: