KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kawasan Muara Tebas akan dibangunkan dengan pendekatan baharu yang bersifat mesra alam tanpa menjejaskan ekosistem sedia ada.
Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, Muara Tebas merupakan satu kawasan yang amat menarik dan kerajaan mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan tersebut sejajar dengan pembangunan yang disebut sebagai Pembangunan Semenanjung Bako.
“Muara Tebas adalah kawasan di mana keadaan tanahnya adalah kombinasi tanah gambut dan tanah keras (hard soil) yang memberi masalah untuk kita membangunkan kawasan ini kerana kosnya tinggi.
“Tetapi kita mesti mempunyai satu pendekatan baharu untuk membangunkan kawasan ini dengan menyeimbangkan bangunan yang kita dirikan dengan kawasan alam sekitar.
“Begitu juga dalam bandar raya Kuching, mesti ada keseimbangan, kita gunakan bangunan yang tinggi dan bangunan daripada konkrit dan kita gunakan juga alam sekitar sebagai cara baharu dari sudut seni bina,” katanya.
Beliau memberitahu, sebagai contoh, di Kepulauan Maldives, bangunan serta hotel dibangunkan dalam kawasan hijau untuk menarik kedatangan pelancong dan pelawat.
“Sebenarnya Maldives tidak mempunyai apa-apa dan yang ada hanyalah air, lautan dan pokok-pokok hijau di mana hotelnya berada dalam hutan.
“Jadi, saya bayangkan kalaulah kita ada kawasan dalam bandar raya Kuching ini dan kita pertahankan kehijauannya serta membina rumah sejajar dengan ekosistemnya, saya pasti ia akan menarik minat pelancong dan pelawat lebih-lebih lagi di Muara Tebas ini,” katanya.
Menurutnya lagi, Negara maju telah membuat kesilapan dalam pembangunan bandar-bandar mereka dan Sarawak tidak boleh buat kesilapan yang sama serta perlu mempertahankan alam sekitar semula jadi.
“Sebab itu saya menyokong usaha Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk menanam pokok-pokok dan saintis kita akan bekerjasama dengan saintis Finland untuk menanam pokok yang boleh tumbuh cepat di kawasan tropika.
“Kita ada tokong di atas bukit di Muara Tebas ini dan kita akan bangunkan masjid terapung di sini dan membangunkan semua kampung di sini mengikut ekosistem yang ada tanpa memusnahkan alam sekitar,” katanya.
Abang Johari turut meminta Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Daya Builders Sdn Bhd merangka perancangan untuk membangunkan kawasan Muara Tebas dengan pendekatan yang berlainan. – Sarawakiana
Kerajaan Negeri Akan Bangunkan Muara Tebas Dengan Pendekatan Baru
Reviewed by uMieySurianie
on
January 29, 2018
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
January 29, 2018
Rating:

No comments: