PUTRAJAYA: Putrajaya kini sudah mencapai tahap 100 peratus bagi liputan jalur lebar talian tetap serta bagi liputan tanpa wayar 2G, 3G dan long-term evolution (LTE), kata Ketua Pegawai Sektor Komunikasi dan Ekosistem Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.
Beliau berkata tahap 100 peratus berkenaan dapat dilihat melalui penilaian yang dilakukan oleh MCMC pada tahun lepas.
"Pencapaian ini bukan sahaja mendahului sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 iaitu 95 peratus liputan jalur lebar di seluruh negara menjelang 2020, malah ia dapat dicapai tiga tahun lebih awal.
"Ini merupakan hasil inisiatif Smart Putrajaya sejak 2016 yang bukan sahaja berjaya meningkatkan kawasan liputan jalur lebar tetapi turut menambah baik kualiti perkhidmatan jalur lebar di Putrajaya," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah program pembangunan majalah sekolah digital e-majalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14(1) di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mohd Ali Hanafiah berkata dengan tahap liputan yang sudah mencecah 100 peratus, kini terpulang kepada komuniti dan penduduk Putrajaya sama ada untuk melanggan talian jalur lebar tetap atau tanpa wayar.
Mengenai program e-majalah, beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Komuniti Pintar anjuran MCMC yang menggalakkan pelajar sekolah rendah dan menengah mengembangkan bakat kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan kandungan digital untuk majalah sekolah digital (e-majalah).
Selain itu, program tersebut turut menggalakkan budaya tanpa kertas dan menjimatkan kos dengan majalah sekolah hanya dicetak untuk pelajar Tingkatan Lima sementara pelajar lain membaca majalah sekolah secara elektronik.
Program ini bermula di Kemaman, Kota Belud, Lundu dan Putrajaya. Bagi 2016 dan 2017, sebanyak 91 buah sekolah menyertai program ini dan untuk tahun ini ia akan diperluas ke 500 buah sekolah di seluruh negara, katanya.
Mohd Ali Hanafiah berkata MCMC berkolaborasi dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri dalam melaksanakan program tersebut.
Pada majlis hari ini, SMK Putrajaya Presint 14(1) menjuarai pertandingan e-majalah kategori sekolah menengah dan membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi serta sijil.-BERNAMA
Putrajaya Capai 100 Peratus Liputan Jalur Lebar Tetap, Tanpa Wayar
Reviewed by Unknown
on
January 24, 2018
Rating:

No comments: