Seo Services

1.53b unit amanah untuk warga tentera



KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan 1.53 bilion unit pada harga RM1 seunit Amanah Saham Zulu, skim pelaburan khas bagi anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata skim pelaburan khas itu diwujudkan bertujuan memupuk budaya melabur dalam kalangan anggota dan veteran ATM selain meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

"Bagi memastikannya dapat dimanfaatkan seramai mungkin anggota dan veteran ATM, PNB (Permodalan Nasional Bhd) sedia menambah unit saham yang ditawarkan bagi memenuhi permintaan dan sambutan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Siri Jelajah Perkasa Perwira bersama warga 4 Divisyen Tentera Darat Malaysia di Kem Wardieburn, Setapak di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima 4 Divisiyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi.

Skim pelaburan khas berkenaan diumumkan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Bank Muamalat, bulan lalu.

Ia terbahagi kepada dua kategori, iaitu Amanah Saham Bumiputera Zulu (ASB-Z) khusus untuk anggota dan veteran ATM berstatus Bumiputera, yang mana 1 bilion unit adalah untuk anggota, manakala 500 juta unit diperuntukkan untuk veteran.

Untuk kategori kedua, Amanah Saham 1 Malaysia Zulu (AS1M-Z) khas untuk warga dan veteran ATM berstatus bukan Bumiputera, PNB memperuntukkan 30 juta unit saham.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pertemuannya dengan warga 4 Divisyen hari ini bukan bermotif politik namun sebaliknya beliau turun padang untuk berjumpa dan beramah mesra dengan warga di kem itu melalui program siri jelajah berkenaan.

Ketika diminta mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga 10 tahun jika sabit kesalahan, Hishammuddin berkata hukuman berkenaan adalah setimpal dengan impak negatif yang dibawa oleh berita palsu.

"Kita bimbang penyebaran berita palsu yang menyentuh isu berkaitan keselamatan, agama dan perkauman kerana ia boleh menimbulkan ketegangan yang sekali gus menggugat keamanan dan pertahanan negara.

"Justeru hukuman berat berkenaan diharap dapat diambil iktibar oleh orang ramai sebelum menyebarkan berita yang tidak benar," katanya.-BHOnline
1.53b unit amanah untuk warga tentera 1.53b unit amanah untuk warga tentera Reviewed by Unknown on March 27, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.