CYBERJAYA: Cadangan bagi penggubalan rang undang-undang mengekang berita palsu masih belum dibawa untuk dibincangkan di peringkat Kabinet.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sedang berusaha menemui pelbagai pihak bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara berkenaan.
"Azalina mempengerusikan jawatan kuasa bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu ini dan setakat ini, ia belum lagi dibentang dan dibincangkan di Kabinet.
"Cuma kita sudah tentukan sebelum dibentangkan kepada Kabinet, Azalina seharusnya menemui seramai mungkin pihak berkepentingan untuk mendapat maklum balas dan melihat pandangan mereka dalam hal ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran aplikasi mudah alih portal, Sebenarnya.my di sini, hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan rang undang-undang mengekang berita palsu supaya pemikiran rakyat tidak diracuni berita palsu terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Mengenai Sebenarnya.my, Salleh berkata, sejak dilancarkan setahun lalu, portal berkenaan sudah menerima lebih 25 juta layaran dengan purata dua juta layaran setiap bulan.
Katanya, analisis dijalankan portal itu juga mendapati peningkatan purata sebanyak 10 peratus pada setiap suku terhadap jumlah layaran portal berkenaan.
"Peningkatan ini memberi indikasi positif bahawa wujudnya kadar kesedaran dalam kalangan masyarakat dalam membudayakan amalan menyemak, menganalisa dan menentusahkan berita yang mereka terima," katanya.
Beliau berkata, portal berkenaan diharap dapat menangani gejala penularan berita palsu yang menjadi musuh negara dan boleh memberi impak negatif kepada individu dan masyarakat.
"Berita palsu adalah musuh negara, dan ia boleh dilihat sebagai perang psikologi yang bertujuan untuk memperdaya masyarakat agar mempercayai berita viral palsu terbabit sebagai sahih," katanya.- BH Online
Cadangan Undang-Undang Berita Palsu Belum Ke Kabinet
Reviewed by uMieySurianie
on
March 20, 2018
Rating:

No comments: