KUCHING: Padang bola sepak Semarak yang terletak di Kampung Pinang Jawa akan dinaiktaraf dalam usaha menjadikannya sebagai lubuk melahirkan pemain berbakat di bandar raya ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengenai rancangan menaiktaraf padang tersebut.
Menurutnya, padang tersebut memerlukan penyelenggaraan terutama melibatkan perparitan.
"Saya akan bincang dengan DBKU untuk menguruskan padang ini. Padang ini perlu dinaiktaraf agar ia boleh digunakan sepanjang masa untuk penganjuran pertandingan bola sepak," katanya berucap merasmikan Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Yb Fazzrudin di Padang Semarak hari ini.
Pada masa sama beliau berharap golongan belia Kampung Pinang Jawa dan Kampung Gita dapat berbincang untuk menubuhkan jawatankuasa bagi menguruskan padang tersebut nanti.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memuji penganjuran pertandingan itu kerana mampu melahirkan lebih ramai pemain hebat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudi Abdul Rahman berkata, pertandingan yang dianjurkan dua tahun sekali itu disertai 32 pasukan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong dan sekitar.
"Pertandingan seperti ini penting untuk mencungkil bakat pemain baharu yang boleh dipilih bagi mewakili Kuching FA yang kini beraksi dalam Liga FAM," ujarnya.-Sarawakiana
Padang Bola Sepak Semarak Dinaiktaraf Bagi Cungkil Pemain Berbakat
Reviewed by Unknown
on
March 17, 2018
Rating:
No comments: