Seo Services

PM Najib lulus RM2.3 bilion bangunkan Bagan Datuk - Zahid



SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan RM2.3 billion untuk membangunkan Bagan Datuk di Perak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu diluluskan melalui pelbagai kementerian, jabatan dan agensi untuk pembangunan kerohanian dan fizikal di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11.


Beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk menyifatkan keprihatinan kerajaan memberi peruntukan itu adalah bagi melengkapkan aspirasi rakyat terhadap Transformasi Nasional 2050 (TN50) di bawah lapan kluster.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri. Ini adalah kebenaran, bukan igaun atau mimpi. Ini ada dalam peruntukan RMK10 dan RMK11," katanya pada Majlis Aspirasi TN50 @ Bagan Datuk di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini, hari ini.

Ia dihadiri oleh lebih 2,500 penduduk Bagan Datuk.

Ahmad Zahid berkata pembinaan 500 unit kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di daerah Bagan Datuk yang akan dijual pada harga RM35,000 adalah antara usaha kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan memiliki rumah.

"Kos pembinaan RM80,000 tetapi kerajaan jual pada RM35,000 dan akan disiapkan pada Januari 2021. Projek Perumahan Awam 1Malaysia juga dimulakan dengan kos pembinaan adalah RM350,000 tetapi dijual kepada penjawat awam pada harga yang cukup murah iaitu RM146,000 hingga RM299,000.

"Ini bukan setakat perancangan atas kertas. Semua projek telah dimulakan," katanya, sambil mendapat tepukan gemuruh daripada peserta.

Ahmad Zahid berkata Bagan Datuk yang selama ini dianggap sebagai ‘pekan koboi’ akan berubah wajah dengan pelbagai pembangunan sosioekonomi yang memberi penekanan terhadap aspek pendidikan di mana Politeknik Bagan Datuk dan Maktab Rendah Sains Mara Bagan Datuk masing-masing akan disiap pada April 2021 dan Mac 2020.

"Kita sasarkan 5,000 pelajar bila (politeknik) siap. Tetapi, sekarang pun kita sudah ada 200 pelajar berdaftar dan memulakan kursus dalam kejuruteraan, automatif dan pemasangan kenderaan di bangunan sementara di Hutan Melintang. Keutamaan akan diberikan kepada anak-anak kelahiran Bagan Datuk untuk meneruskan pengajian mereka di sini," katanhya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di Bagan Datuk sedang dibina dan bakal menjadi satu daripada enam sekolah menengah tahfiz di bawah inisiatif kerajaan negeri Perak yang diharap melahirkan kira-kira 30,000 golongan huffaz professional yang mampu menguasai pelbagai disiplin ilmu.


Dalam pertemuan santai TN50 selama dua jam bersama warga Bagan Datuk itu, Ahmad Zahid berkata satu jambatan sepanjang 1.5 kilometer telah mula dibina pada April tahun lepas dan dijangka siap pada Mac 2020 bagi memendekkan perjalanan antara Bagan Datuk dengan kawasan berhampiran seperti Manjung, Sitiawan dan Pasir Salak

"Apabila siap projek Lebuhraya Pesisir Pantai yang kini dalam pembinaan, dan dengan adanya jambatan penghubung ini, ia bakal menjadikan Bagan Datuk lebih sibuk serta bakal mengubah kedudukan sosio ekonomi dan sistem jaringan perhubungan di daerah itu. Saya jangkakan dari pekan Bagan Datuk ke Kuala Lumpur, ia hanya mengambil masa 90 minit.

"Inilah semua perancangan dan transformasi kerajaan untuk kesejahteraan serta meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan bangsa," katanya.

Menurutnya, Bagan Datuk juga akan ditransformasikan sebagai hab pekerjaan dengan adanya kilang automatif dan pemasangan kenderaan Tan Chong Motors, kilang pemprosesan ikan tuna dan Perak Heavy Industrial Park yang bakal menjana 26,000 pekerjaan baharu menjelang 2020.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, yang mempunyai sekurang-kurangnya 280 pegawai serta anggota polis pelbagai pangkat, apabila siap pada November 2021.

Ahmad Zahid berkata penjara khas Bagan Datuk juga dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada November 2021 untuk penjenayah-penjenayah yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

"Penjara itu akan dijadikan kem pemulihan, diubah suai untuk proses deradikalisasi dan lebih kepada pendidikan serta bukannya punitif.

"Buat sementara ini, penjara khas ini beroperasi di Kem Tahanan Kamunting. Apabila ia siap, kompleks pemulihan (deradikalisasi akan ditempatkan) di situ," katanya.

Beliau turut menzahirkan hasrat untuk membuka kampus cawangan Universiti Teknologi Mara serta membina sebuah stadium di Bagan Datuk selain meluluskan peruntukan awal sebanyak RM250,000 untuk mencari bakat baharu sukan dari Bagan Datuk bagi mewakili negara hingga ke peringkat Olimpik.

Pada sidang media kemudian, Ahmad Zahid berkata pihak swasta telah mengambil inisiatif untuk membina sebuah jambatan dari Bagan Datuk hingga ke Sumatera.

Beliau berkata pada asasnya, perkara itu mendapat kelulusan dasar dari segi perancangan fizikal yang melibatkan kos melebihi AS$20 bilion.

"Namun, ia perlukan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar. Oleh kerana ia melibatkan kerjasama negara ASEAN, pelaksanaan jambatan itu memerlukan beberapa tata cara untuk diikuti serta menjaga hubungan diplomatik dan protokol.

"Kita mahu pelabur datang dengan mendapat persetujuan kerajaan negeri Perak dan kelulusan sepenuhnya dari kerajaan Malaysia, pemerintah Indonesia dan Gabenor beberapa provinsi di Sumatera. Oleh kerana ini adalah inisiatif pihak swasta, saya serah kepada mereka untuk mendapatkan kelulusan dari pihak-pihak terlibat," katanya.

Mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam yang dibangkitkan peserta semasa dialog TN50, Ahmad Zahid berkata kerajaan sentiasa mengikuti prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ikrar Bebas Rasuah oleh Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Malah, kita juga mengambil beberapa langkah dalaman mengikut perintah am yang ada. Saya meminta agensi-agensi penguatkuasaan ambil tindakan segera agar prasangka negatif terhadap pelakuan demikian dapat dihapuskan dalam waktu sesingkat mungkin," katanya. -- Bernama
PM Najib lulus RM2.3 bilion bangunkan Bagan Datuk - Zahid PM Najib lulus RM2.3 bilion bangunkan Bagan Datuk - Zahid Reviewed by uMieySurianie on March 18, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.