KUCHING: Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) bertegas tidak mahu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membuat ‘U Turn’ berkenaan persetujuan tawaran 20 peratus bagi royalti minyak Sarawak.
Presiden STAR Lina Soo berkata tawaran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan 20 peratus royalti minyak itu adalah masih hasil daripada sumber asli wilayah Sarawak.
“Ketua Menteri tidak perlu membuat ‘U Turn’ sekarang untuk menerima keuntungan 20 peratus berkenaan daripada Dr Mahathir sebagaimana yang dinamakan sebagai royalti minyak.
“Sekiranya Kerajaan Sarawak menerima, bermaksud kita menerima pakai Akta Pembangunan Petroleum (PDA) dan Akta Wilayah Laut yang membolehkan ia dikuatkuasakan di dalam wilayah Sarawak,” katanya dalam kenyataan akhbarnya semalam.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap Abang Johari yang meminta penjelasan daripada kerajaan persekutuan berkenaan royalti 20 peratus seperti yang dilaporkan akhbar tempatan di sini.
Kenapa perlu mendapatkan penjelasan sedangkan ia merupakan sumber asli kita, jelas Lina.
Ia bukan sesuatu untuk diperdebatkan sama ada dalam peratusan bagi pengeluaran minyak atau keuntungan daripadanya.
Kita semua sudah sedia maklum bahawa PDA merupakan akta daripada kerajaan persekutuan yang tidak diterima pakai oleh DUN Sarawak dan ia tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan di Sarawak, tegasnya.
Pokok kepada perkara ini, kerajaan Sarawak tidak seharusnya menggunakan sumber asli sebagai cip tawar menawar dengan kerajaan persekutuan yang menggugat hak Sarawak dan kedaulatan wilayahnya.
Soo mengingatkan, Kerajaan Sarawak bermula 1 Julai 2018 telah melaksanakan OMO untuk mengambil semula 100 peratus hak mengawal selia petroleum dalam wilayah Sarawak.
“Untuk menerima pembayaran royalti dalam apa sahaja peratusan sama seperti membalikkan pendirian Kerajaan Sarawak terhadap penguatkuasaan OMO sekali gus memusnahkan status pemilikan 100 peratus Sarawak terhadap sumber asli berkenaan,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Lina memperjelaskan bahawa sumber minyak dari Sarawak adalah paling berharga di dunia terutama sekali yang datangnya dari medan minyak di Lutong Barat di Sarawak.
Beliau turut mendedahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas dalam laporan terkini mendedahkan hasil minyak sebanyak 850,000 BOE/D (barel minyak setara sehari) dengan AS$70 sebarel yang bermaksud AS$56 juta sehari serta AS$20.4 bilion setahun.
“Bayangkan nilai itu jika dikongsikan kepada populasi di Sarawak iaitu 2.8 juta, Sarawak akan menjadi seperti negara Norway atau Qatar bagi pendapatan perkapita,” katanya.
Lina mencadangkan agar Kerajaan Sarawak sebagai pemilik tanah menawarkan Petronas peratusan untuk dibayar bagi setiap barel minyak yang diekstrak dari wilayah Sarawak.
Adalah lebih baik sekiranya pemilik tanah menawarkan kepada pengendali dan bukan sebaliknya, ujarnya semalam.
“Apa sahaja di dalam wilayah Sarawak dan kawasan perairannya adalah milik Sarawak yang juga salah sebuah negara yang menubuhkan Malaysia.
“Kita tidak mahu lebih dan tidak mahu kurang, itu sahaja,” tegasnya. - Utusan Borneo
Sarawak harus tegas pertahan hak terhadap minyak
Reviewed by Admin
on
July 23, 2018
Rating:
No comments: