Seo Services

Tiada pihak dapat sahkan penahanan Jho Low - KPN


KUALA LUMPUR: Sehingga hari ini masih tiada pihak yang berkenaan dapat mengesahkan dakwaan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, ditahan di China.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sudah membuat semakan terhadap perkara itu namun masih belum ada sebarang perkembangan.

"Kita sudah buat semakan dengan pihak polis dan kedutaan China berhubung dakwaan ini.

"Namun, di antara mereka, tiada yang dapat tampil memberikan pengesahan berhubung penahanan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Serah Terima Tugas jawatan Pengarah Jabatan Pengurusan dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard(JIPS) di PULAPOL, di sini hari ini.

Pada majlis itu, bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab yang bakal bersara menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Pengarah Pengurusan Bukit Aman yang baharu Datuk Asri Yusoff.

Selain itu, majlis turut menyaksikan penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 100 orang pegawai dan anggota bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka kepada tanah air.

Kelmarin, blog Sarawak Report melaporkan sebuah stesen radio di Hong Kong menyiarkan satu laporan berita berhubung penahanan Jho Low di China.

Pasport Jho Low dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Fuzi memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung laporan polis yang dibuat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Ia sekali gus menjawab gesaan Ramasamy yang mahukan polis menjalankan siasatan ke atas pihak yang didakwa menyebarkan fitnah terhadap dirinya.

Ramasamy sebelum itu terbabit dalam kontroversi penularan gambar bersama ahli politik pro Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE), V Gopalasamy dan menimbulkan dakwaan ahli politik DAP itu mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas di Sri Lanka itu.

Beliau kemudian turut membuat laporan polis terhadap beberapa muatnaik di media sosial yang memaparkan dirinya menyembah sebuah senapang jenis AK-47. - BH online
Tiada pihak dapat sahkan penahanan Jho Low - KPN  Tiada pihak dapat sahkan penahanan Jho Low - KPN Reviewed by Admin on July 20, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.