Polis telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan bapanya, "tanpa kehadiran tertuduh" (in absentia), atas dakwaan penyelewengan wang 1MDB, lapor The Edge hari ini.
Menurut portal dalam talian penerbitan perniagaan itu, Low dan bapanya Larry Low Hock Peng dikenakan tuduhan pengubahan wang haram oleh Jabatan Penyiasatan Jenayah Komersial (CCID) dan Jabatan Peguam Negara (AGC), di Mahkamah Sesyen di Putrajaya pagi ini.
Waran tangkap juga dikeluarkan kepada kedua anak dan bapa ini, kata laporan itu. Kini pertuduhan ini akan membolehkan kerajaan untuk memohan perintah ekstradisi terhadap mereka di mana sahaja mereka kini bersembunyi.
Laporan itu memetik sumber dalam bidang perundangan, yang menyifatkan pemfailan tersebut sebagai langkah penting, berkata: "Dengan pemfailan pertuduhan itu, langkah seterusnya adalah untuk mendapat perintah ekstradisi."
Menurut laporan itu lagi, Jho Low dan keluarganya dipercayai bersembunyi di China atau Abu Dhabi.
Lapan pertuduhan jenayah untuk Jho Low
Dokumen mahkamah yang dilihat oleh The Edge menyatakan bahawa Jho Low telah dikenakan lapan tuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, 2001 (Akta 613) - tiga daripadanya kerana menerima wang dan baki lima pertuduhan disebabkan memindahkan wang tunai.
Bapa Jho Low pula menghadapi satu pertuduhan memindahkan AS$ 56 juta (RM230 juta) kepada anaknya.
Jumlah yang terlibat dalam urus niaga tersebut adalah kira-kira AS$ 261 juta (lebih RM1 bilion) untuk penerimaan wang dan AS$ 196 juta (kira-kira RM805 juta) untuk pemindahan wang tunai - semuanya telah dilakukan melalui akaun berasingan di Bank BSI Singapura antara Disember 2013 dan Jun 2014.
Menurut The Edge, sebahagian besar wang tunai itu digunakan untuk membeli kapal persiaran mewah Equanimity bernilai AS$ 250 juta (RM1 bilion), yang kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa Malaysia, selepas diserahkan oleh rakan sejawatannya dari Indonesia pada awal bulan ini.
Laporan itu menyatakan bahawa tindakan ini merupakan pertuduhan jenayah pertama yang difailkan terhadap Low, di mana sahaja di dunia.
Jabatan Keadilan (DOJ) AS sebelum ini telah memfailkan siri saman sivil untuk mendapatkan semula aset yang dibeli dengan wang yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
Terdahulu hari ini, Jho Low dalam satu kenyataan berkata bahawa 'tindakan' Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menjual Equanimity, yang diyakini Low sebagai miliknya, telah bersuara kerajaan kini bersedia menjual kapal pada harga diskaun kerana kos penyenggaraan yang menelan ratusan juta ringgit.
Permohonan 1MDB untuk menjual Equanimity dengan segera akan didengar Sherif di Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur petang ini. - Malaysiakini
Malaysia fail pertuduhan jenayah ke atas Jho Low, bapa
Reviewed by Admin
on
August 24, 2018
Rating:
No comments: