KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu meneliti dahulu kandungan pindaan melibatkan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, yang dicadangkan untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak.
Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Sarawak secara dasarnya akan menyokong cadangan tersebut sekiranya ia baik untuk Sarawak, Sabah dan Malaysia keseluruhannya.
“Buat masa ini, kami sedang menunggu cadangan tersebut dan akan membincangkannya dengan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg).
“Kita akan mendukung selagi ia baik untuk negeri ini dengan mengembalikan semua hak kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk minyak dan gas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.
Manakala Ahli Parlimen Petra Jaya merangkap Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau akan berbincang serta mendapatkan panduan daripada Kerajaan Sarawak termasuk Ahli Parlimen GPS mengenai kebaikan pindaan tersebut kepada Sabah, Sarawak dan Malaysia keseluruhannya.
“Dari segi dasar, Ketua Menteri (Abang Johari) sudah menyatakan bahawa kita boleh menyokong apa yang membawa kebaikan kepada Sarawak dalam mengembalikan kuasa yang terhakis dan apa yang telah dipersetujui dalam MA63.
“Kalau ini memang kita akan menyokong tapi sama ada kita akan menyokong apa yang akan dibawa ke Parlimen, saya tak dapat menyatakan sehingga kita melihat secara terperinci cadangan pindaan yang akan dibuat,” katanya yang turut ditemui semasa menghadiri majlis berkenaan.
Sementara Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan itu sebagai langkah permulaan yang betul untuk kerajaan persekutuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah dalam Malaysia, bukan lagi sebuah negeri.
“Bagi saya pindaan ini tidak ada apa-apa, hanya mengubah undang-undang sahaja dan cuma memerlukan sokongan dua pertiga majoriti daripada Parlimen untuk menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai dua wilayah berasingan dengan Semenanjung Malaysia.
“Inilah perkara yang perlu diperjelaskan di bawah MA63 dan oleh sebab itu, Perlembagaan Malaysia yang dipinda pada tahun 1976 perlu dilihat semula untuk mengubah apa yang ada sekarang,” ujarnya pada sidang media di sini, semalam.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata beliau akan mencadangkan untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak seperti sebelum pindaan dibuat pada 1976.
Jelasnya, cadangan pindaan tersebut akan dikemukakan kepada kabinet dahulu sebelum dibentangkan kepada Parlimen pada persidangan yang dijadual bermula 15 Oktober ini.
“Dengan kata lain , Sabah dan Sarawak akan mendapat status mereka seperti yang termaktub di bawah Perkara 4, MA63.
“Adalah menjadi harapan saya bahawa kita semua, rakyat Malaysia, kekal bersatu dan bersatu hati dalam meminda Artikel 1 (2) dan membetulkan ketidakadilan yang dialami Sabah dan Sarawak selama tiga dekad lalu,” ujarnya. - UTUSAN BORNEO
Kandungan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan perlu diteliti
Reviewed by Admin
on
October 10, 2018
Rating:

No comments: