MIRI: Kerajaan mahu mengkaji semula sistem pemberian subsidi untuk pengangkutan barang ke kawasan luar bandar di Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Chong Chieng Jen berkata langkah itu diambil untuk memastikan tidak berlaku ketirisan dalam pemberian subsidi terbabit yang sepatutnya memberi manfaat kepada penduduk di kawasan luar bandar.
“Kita tidak nafikan, terdapat banyak ketirisan berlaku dalam skim subsidi yang dilaksanakan (oleh kerajaan) sebelum ini.
“Oleh itu saya akan membawa perkara ini kepada menteri (KPDNKK) untuk dibincangkan dan berharap ia akan dikaji semula demi manfaat rakyat.
“Kita mahu satu sistem baharu yang lebih baik dan lebih efisien serta membolehkan kita memantau situasi di kawasan luar bandar tanpa perlu melibatkan penamaan kakitangan dalam kementerian itu di sini,” ujarnya.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke salah satu premis perniagaan popular di sini semalam, Chong berkata kajian semula itu kelak akan merangkumi pelbagai aspek termasuk keadaan geografi di luar bandar Sarawak.
Chong memberitahu, untuk kementerian itu menukar satu sistem lama (yang sedia ada) bukan perkara yang mudah kerana ia perlu melibatkan kaji selidik dengan kakitangan dan pegawai di pelbagai peringkat, penduduk setempat dan sebagainya termasuk kedudukan geografi di luar bandar Sarawak, dengan sesetengah POS terbabit terletak sehingga lebih 100 kilometer jaraknya ke pedalaman.
Dalam perkembangan yang sama, Chong memberitahu ketirisan berlaku dalam sistem sedia ada berikutan kurangnya kakitangan bagi memantau lebih 1,600 lokasi ‘point of sales’ (POS) di pedalaman Sarawak.
“Kalau kita nak tambah kakitangan yang secukupnya untuk menjaga POS ini, dengan mengabiskan puluhan ribu untuk kos tersebut, sedangkan kos operasi untuk tujuan itu hanya beberapa ribu sahaja, maka itu tidak masuk akal.
“Oleh itu kita memerlukan satu sistem terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” tambahnya.
Terdahulu, beliau sekali lagi meyakinkan rakyat bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan semula bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih baik dan kesannya ke atas barangan kurang berbanding GST.
“Saya nak buat kesimpulan, di bawah GST rakyat terpaksa membayar RM43 bilion, sebaliknya di bawah SST, kita menganggarkan rakyat hanya perlu membayar RM24 billion sahaja, yang boleh membantu kita merangsang ekonomi dan pembangunan negara,” tambahnya.
Hadir sama mengiringi Chong semalam ialah Senator Alan Ling, ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon, Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Md Nawawi Abdul Rahman serta Pengurus Nam Leong Sarawak Khor Whye Pheng.
Menurut Khor, pasar raya Nam Leong yang memiliki lebih 20 cawangan di seluruh Sarawak, memiliki lapan cawangan di Miri termasuk satu masing-masingnya di pekan Niah dan Bekenu. - UTUSAN BORNEO
Sistem pemberian subsidi pengangkutan barang dikaji
Reviewed by Admin
on
October 03, 2018
Rating:

No comments: