SERDANG: Seramai 38 orang termasuk 33 pelajar sekolah ditahan setakat ini, dipercayai terbabit dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap Geng 24 di sekitar Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 25 tahun.
"Seramai 33 orang pelajar sudah kita soal siasat dan dibebaskan dengan jaminan pihak polis manakala lima lagi masih ditahan dan akan dibebaskan esok.
"Hasil soal siasat mendapati kesemua mereka ini berhubung melalui satu group aplikasi WhatsApp yang dinamakan sebagai 'Geng 24 Apache'.
"Kita percaya mereka ini dalam usaha menarik mana-mana pelajar lagi untuk menganggotai kumpulan ini," katanya dalam sidang media sempena sambutan Hari Polis Ke-210 di Hospital Serdang, sebentar tadi.
Fadzil berkata hasil soal siasat setakat ini mendapati kesemua mereka tidak terbabit dengan mana-mana jenayah.
"Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan," katanya.
Penahanan itu adalah susulan satu klip video berdurasi 45 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki dilihat melakukan kekecohan dengan membakar mercun, selain ada di antara mereka memegang kain rentang tertera nombor 24 di hadapan sebuah sekolah pada 21 April lalu. - BH
Geng 24 Berhubung Guna WhatsApp
Reviewed by uMieySurianie
on
April 26, 2017
Rating:
No comments: