JOHOR BAHRU: Seramai 120 atlet mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Angkat Berat Remaja Kebangsaan yang akan diadakan di Dewan Jubli Intan, Segamat, Sabtu ini hingga 1 Mei depan.
Presiden Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata kejohanan kali kedua diadakan itu dianjurkan bersama Majlis Sukan Negeri Johor, Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN), kerajaan negeri dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia.
Katanya, kejohanan itu disertai atlet berusia 20-an, selain atlet yang mewakili negeri dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2016, bagi memberi peluang kepada mereka mengukur keupayaan diri sebelum menghadapi SUKMA 2018.
"Kejohanan seumpama ini diharap akan dapat meningkatkan kualiti kepegawaian dalam aspek pengurusan penganjuran dan teknikal, di samping memperkenal dan mempromosikan pusat perniagaan dan pentadbiran kerajaan negeri Johor di daerah Segamat.
"Pihak penganjur turut menyediakan piala pusingan, selain memperkenalkan juara keseluruhan buat pertama kali untuk membawa pulang Piala Pusingan.
"Sehubungan itu, saya dengan rendah diri menjemput semua masyarakat terutama di daerah Segamat khasnya dan Johor amnya, untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan kejohanan ini serta melihat sendiri kejohanan angkat berat yang lazimnya hanya dapat ditonton menerusi media elektronik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ayub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, berkata peserta kejohanan itu mewakili 14 Persatuan Angkat Berat negeri di bawah Gabungan Persekutuan Angkat Berat Malaysia.
Sebanyak 16 kategori lelaki dan wanita akan dipertandingkan, antaranya 56 kilogram (kg), 62kg, 69kg, 77kg, 85kg, 94kg, 105kg dan lebih 105kg bagi kategori lelaki manakala 48kg, 53kg, 58kg, 63kg, 69kg, 75kg, 90kg dan lebih 90kg bagi kategori wanita. - BH
120 Sertai Kejohanan Angkat Berat Remaja Kebangsaan
Reviewed by Azmin
on
April 26, 2017
Rating:
No comments: