KUCHING: Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen diingatkan agar tidak terlalu berpolitik sebaliknya melaksanakan tugasnya sebagai ahli kabinet persekutuan mewakili rakyat Sarawak.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Michael Tiang berkata sebagai antara wakil rakyat Sarawak dalam Kabinet Persekutuan, Chong seharusnya berjuang untuk Sarawak dari segi dasar-dasar kerajaan persekutuan.
"YB Chong selaku ahli Kabinet Persekutuan sebagai Timbalan Menteri (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) harus memperjuangkan suatu yang lebih baik untuk Sarawak bukannya terlalu berpolitik.
"Rakyat Sarawak tidak mahu semua itu. Rakyat Sarawak masih menunggu dia melaksanakan tugasnya iaitu memperjuangkan hak-hak dan membawa semula projek-projek kerajaan persekutuan ke Sarawak," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha sayap Pemuda SUPP Milton Foo di Ibu Pejabat SUPP di sini hari ini.
Tiang berkata beliau menyambut baik kenyataan Chong menerusi kenyataan akhbarnya semalam apabila mengingat GPS bukan kerajaan di peringkat persekutuan tetapi Pakatan Harapan (PH).
"Saya sangat gembira apabila Chong mengatakan dia dalam kerajaan atau parlimen, bukan kita (GPS), jadi sila maklumkan apa yang dilakukan untuk Sarawak.
"Maknanya sekarang mikrofon di tangan dia, hanya dia boleh menyanyi yang lain (ahli parlimen GPS) tidak boleh, jika dia sahaja boleh menyanyi, dia mesti menyanyi bagi wakil Sarawak," ujarnya.
Tiang turut mempersoal pendirian Chong sebagai yang mewakili Sarawak dalam kabinet persekutuan mengenai cadangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menubuhkan Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC) bagi membincangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Adakah Chong bersedia untuk menyokong cadangan Ketua Menteri menubuhkan ICG. Ini tiada kaitan dengan politik tetapi hak-hak Sarawak.
"Sehingga hari ini, Chong belum lagi menyatakan pendiriannya mengenai IGC untuk memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti dalam MA63," katanya. - UTUSAN BORNEO
SUPP minta Chong fokus kepada tugas sebagai ahli kabinet persekutuan mewakili rakyat Sarawak
Reviewed by Admin
on
October 23, 2018
Rating:

No comments: