KUCHING, 7 Nov (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa bahawa rakyat Sarawak perlu membayar lebih apabila Kerajaan Negeri melaksanakan cukai jualan ke atas produk petroleum mulai 1 Jan tahun hadapan.
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Sentosa itu berkata, levi cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum – minyak mentah, gas asli, baja berasaskan kimia dan produk gas hingga cecair akan mempengaruhi pelanggan, pemain industri, pertanian dan sektor pengangkutan.
"Belanjawan ini menjadi yang terbesar dalam sejarah Sarawak, dengan pendapatan tambahan kira-kira RM3.9 bilion yang akan terhasil daripada pelaksanaan cukai jualan produk petroleum.
"Biarpun Kerajaan Negeri memperoleh sumber pendapatan tambahan, tetapi persoalan saya di sini kepada Menteri Kewangan (Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) adakah pelaksanaan levi cukai jualan itu menjadi seperti tiket loteri 4D di mana Malaysia Barat menjual RM1 tetapi di Sarawak dijual RM1.10, dengan 10 peratus akan masuk dalam kantung negeri ini.
"Sudahkah Kerajaan Negeri menjalankan kajian bagaimana cukai ini boleh mempengaruhi industri Sarawak. Terdapat dua kemungkinan yang akan dilihat pada akhirnya, kita akan terpaksa bayar lebih, rakyat Sarawak akan terpaksa membayar lebih untuk cukai ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (2019) Negeri ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Pada Isnin (5 Nov), Abang Johari mengumumkan satu rekod belanjawan RM11.914 bilion bagi 2019. -- BERNAMA
Jangka bayar lebih dengan pelaksanaan cukai produk petroleum - Chong
Reviewed by Admin
on
November 07, 2018
Rating:

No comments: