Seo Services

Kilang kerajang tembaga Iljin siap pada Disember


KUCHING, 13 Nov (Bernama) -- Pembinaan kilang kerajang tembaga Iljin Materials Malaysia Sdn Bhd di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya di sini dijadual siap Disember ini, Dewan Undangan Negeri Sarawak diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Iljin merancang untuk memulakan fasa kedua projek tersebut untuk memenuhi permintaan pasaran yang kukuh bagi produknya.

"Pembinaan kilang berkenaan bermula pada awal Januari lepas," katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2019.

Awang Tengah, yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan merangkap Menteri Kedua bagi Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, berkata pengambilan pekerja telah dimulakan dan Iljin berharap untuk mengambil 144 orang, terdiri daripada 10 jurutera, sembilan kakitangan pengurusan dan 125 pengendali/ juruteknik menjelang akhir tahun.

Selain Iljin, beliau berkata, LONGI Group juga merancang untuk mengembangkan kemudahannya di Sama Jaya dengan melabur RM820 juta lagi untuk pengeluaran sel silikon monohabluran.

Awang Tengah berkata, pengembangan itu akan mewujudkan 800 lagi pekerjaan di Sama Jaya.

"Secara keseluruhannya, Sama Jaya kini mempunyai tenaga kerja seramai 11,600 di mana 98 peratus adalah penduduk tempatan," katanya, sambil menambah bahawa Sama Jaya menjana upah bernilai RM380 juta dan nilai eksport RM3.2 bilion pada tahun lepas.

-- BERNAMA
Kilang kerajang tembaga Iljin siap pada Disember Kilang kerajang tembaga Iljin siap pada Disember Reviewed by Admin on November 14, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.