Seo Services

CAPTAIN AMERICA PENGAMBARAN TANPA MENGGUNAKAN EFEK KESAN KHAS

Captain America: The Winter Soldier ialah filem ketiga dari ‘fasa kedua’ karya-karya keluaran komik Marvel yang digelar sebagai MCU (Marvel Cinematic Universe) selepas Iron Man 3 dan Thor: The Dark World.

Berbanding dengan usahawan ternama yang mempunyai perisai berkuasa atau dewa Norse yang bersenjatakan tukul besi, kronologi kisah Captain bermula sebagai insan biasa yang serba kekurangan. Steve Rogers digambarkan sebagai adiwira yang jujur dan berani di atas semangat patriotisme terhadap negaranya.

Ini mungkin menyebabkan karakter Rogers/Captain dianggap kurang menonjol berbanding rakan-rakan adiwira yang lain. Lebih-lebih lagi apabila himpunan filem Marvel sering dikaitkan dengan tona penceritaan yang serba girang, berlebih-lebihan dan tidak terlalu serius dengan dialog yang menangkap telinga.

Bagaimanapun, menerusi The Winter Soldier, penulis dan pengarahnya mengambil pendekatan yang lebih gelap dan pertarungan kombat yang lebih ketat. Sekuel Captain America ini bukan sekadar filem adiwira yang tipikal tetapi bersifat thriller konspirasi-perisikan.

Dua tahun selepas peristiwa di New York, Rogers/Captain masih cuba menyesuaikan dirinya dengan dunia moden. Dia tidak mempunyai kehidupan sosial apatah lagi kekasih. Kerana itu Natasha Romanoff/Black Widow cuba memperkenalkannya dengan wanita-wanita dari S.H.I.E.L.D. untuk didampingi.

Rogers/Captain sangat terkejut apabila organisasi yang menaunginya itu tidak ‘bersih’ seperti yang disangkakan. Memetik katanya, "ini bukan kebebasan, ini adalah ketakutan". Dia mendapati dirinya terjerat dalam satu konspirasi yang meletakkan nyawa orang-orang yang tidak bersalah sebagai pertaruhan.

The Winter Soldier menjadikan filem-filem Marvel sebelum ini kelihatan ‘sub-standard’ atau dalam erti kata lain, lemah. Pastinya filem ini juga tidak terlepas dari penggunaan imej janaan komputer (CGI) serta babak kereta kejar-mengejar, tetapi ia dihasilkan dengan pintar, matang dan dihormati.

Sifat manusiawi Captain/Rogers yang lebih akrab dengan kehidupan sebenar menjadikan wataknya lebih relevan, sama ada dari aspek personaliti mahupun babak-babak perkelahian. Sebagai contoh, adegan pembukaan menyaksikan Captain bertarung sebagai soldadu sejati tanpa mengharapkan efek kesan khas.

Plotnya mungkin mudah, tetapi untuk sebuah filem adaptasi komik, ianya tidak memperkecilkan minda penonton dan tidak terasa seperti kartun. Watak jahat ahli politik Alexander Pierce dibawakan dengan berkesan oleh Robert Redford.

Begitu juga dengan Samuel L. Jackson sebagai Nick Fury yang tidak hanya nampak hebat dalam persalinan jaket kulit hitam. Sementara itu, aura keyakinan yang ada pada Chris Evans sebagai bintang utama membuatkan dia ‘memegang’ setiap babak yang dilakonkannya.

Filem ‘ringan’ seperti ini tidak gentar untuk mengangkat beberapa persoalan berat mengenai kerajaan dan ketenteraan. Pembikinnya tidak takut untuk menonjolkan kekejaman Amerika Syarikat sendiri, masyarakatnya dan apa yang membentuk mereka sebagai sebuah kuasa besar dunia.

Adalah sesuatu yang menyeronokkan apabila melihat seorang hero yang menegakkan keadilan dan memusnahkan korupsi dengan cara yang lebih klasik dan dewasa. Captain Amerika: The Winter Soldier disebut-sebut sebagai penyelamat MCU yang sebelum ini kurang memuaskan hati para peminat tegar.

Pengarah adik-beradik, Joe dan Anthony Russo memberikan keadilan terhadap visi penulis Christopher Markus dan Stephen McFeely.

Apa yang membanggakan ialah Russo bersaudara ini lebih dikenali sebagai pengarah siri komedi televisyen seperti Arrested Development dan Community. Bukan menolak kemampuan mereka, tetapi kepercayaan yang diberikan Marvel untuk mereka menangani filem aksi berskala besar seperti ini berbaloi.

Mereka menyuntik elemen komedi dengan gaya tersendiri, termasuk penampilan istimewa penulis komik legenda, Stan Lee tanpa mengganggu mood dan tona keseluruhan cerita. Begitu juga dengan skor muzik Henry Jackman yang memacu adrenalin penonton untuk mengikuti setiap detik.

Cuma saya sedikit terganggu dengan penampilan Scarlett Johansson sebagai Romanoff/Black Widow kali ini, seperti mana janggalnya Anne Hathaway dalam The Dark Knight Rises (2012). Humor dan pembinaan wataknya dirasakan agak terasing dan sedikit menjengkelkan. Namun, ini bukanlah kesalahan besar yang merosakkan filem.
CAPTAIN AMERICA PENGAMBARAN TANPA MENGGUNAKAN EFEK KESAN KHAS CAPTAIN AMERICA PENGAMBARAN TANPA MENGGUNAKAN EFEK KESAN KHAS Reviewed by Admin on April 04, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.