Seo Services

Malaysia Di Sebalik Tadbir Urus Yang Pelbagai

MENTADBIR urus negara seperti Malaysia bukanlah semudah yang disangka. Rakyatnya berbilang kaum dan agama. Apabila majmuk, kepelbagaian akan terserlah berbanding dengan masyarakat negara-negara lain. Di sebalik tidak mudah untuk mentadbir urus negara yang pelbagai kaum dan agama, negara seperti Malaysia juga mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Kepelbagaian ini bermakna pelbagai budaya diamalkan. Setiap kaum pastinya mempunyai kelebihan. Kalau ditadbir urus dengan baik, segala kelebihan ini akan menjadi kekuatan yang amat ampuh berbanding negara-negara yang dikuasai oleh satu kaum dan bangsa sahaja.

Kepelbagaian kaum ini terserlah apabila sejak dahulu lagi, Kabinet Malaysia dianggotai oleh pelbagai kaum. Keanggotaan Kabinet sebegini boleh memperkukuhkan perpaduan antara kaum.

Setiap kaum melalui wakil mereka dalam Kabinet dapat menyuarakan setiap isu dan permasalahan kaum masing-masing. Tiada siapa yang dipinggirkan. Setiap kaum boleh menuntut hak masing-masing berasaskan semangat Perlembagaan Malaysia.


Tidak terkecuali kepelbagaian anggota Kabinet akan melahirkan pelbagai pendapat yang mampu menjadi sinergi kepada Kabinet secara keseluruhannya. Melalui wakil-wakil kaum dalam Kabinet, setiap kaum dapat memahami di antara satu sama lain.

Pokoknya, setiap pemimpin kaum ini perlu terlebih dahulu bersatu agar kaum masing-masing akan sentiasa bertoleransi, memahami dan tidak menyentuh isu-isu sensitif kaum-kaum lain. Pemimpin yang baik tidak akan sesekali mengadu domba dan menghasut orang bawahan bergaduh sesama sendiri dalam keadaan mana sekali pun.

Kepelbagaian dan kemampanan ini juga melibatkan tadbir urus dalam sesebuah syarikat. Ini termasuklah syarikat-syarikat senaraian awam yang terdiri daripada syarikat-syarikat yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Talent Corporation Malaysia Bhd. (TalentCorp), pengurusan tertinggi syarikat senaraian awam hanya terdiri daripada 24 peratus wanita, 18 peratus pula berusia di bawah 40 tahun dan sekadar 34 peratus bumiputera. Dengan kata lain, ia tidak mencerminkan realiti semasa masyarakat sekarang.

Kalau diikutkan peratusan wanita yang tidak sampai 30 peratus sedangkan tatkala ini wanita berpendidikan tinggi cukup ramai berbanding lelaki. Lihatlah di kebanyakan universiti, pelajar perempuan mengatasi pelajar lelaki berkali ganda. Bahkan, sesuatu yang tidak mengejutkan apabila bilangan pelajar lelaki dalam kuliah boleh dibilang dengan jari. Maka, apabila peratusan wanita rendah bermaksud ia tidak mencerminkan kedudukan wanita yang semakin tinggi berbanding dahulu.

Bagaimanapun, polisi untuk meningkatkan bilangan wanita dalam pengurusan tertinggi syarikat senaraian awam juga perlu dibuat dengan berhati-hati agar tiada episod tangkap muat hanya semata-mata untuk mengatasi peratusan yang ditetapkan.

Dibimbangi, episod tangkap muat ini akhirnya boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kemampanan syarikat-syarikat senaraian awam. Kepimpinan lelaki amat diperlukan dalam syarikat senaraian awam kerana lelaki dan perempuan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Apa yang penting, kelebihan-kelebihan ini diperkasakan, manakala kekurangan pula ditangani dengan baik.

Bagi aspek umur pula, bilangan golongan muda dalam pengurusan tertinggi masih rendah. Mungkin ada yang mengatakan yang muda ini masih mentah dalam dunia korporat. Perlu diingat, tatkala muda inilah, otak berjalan dengan ligatnya manakala fizikal dan kudrat cukup kuat.

Golongan muda pula lebih agresif dan sentiasa berusaha untuk memikirkan perkara dan idea-idea baharu. Tidak menghairankan mereka ini lebih berani menanggung risiko dan tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan. Bagaimanapun, mereka kurang berpengalaman namun demikian aspek ini perlu disantuni oleh pengurusan tertinggi yang lebih lama dan berumur.

Kita boleh lihat ada di antara pengurusan tertinggi syarikat senaraian awam terdiri daripada mereka yang sudah lama berada dalam hierarki tertinggi syarikat. Mereka ini pula bukanlah pemegang saham terbesar syarikat. Mereka dilantik hanya kerana jasa-jasa terdahulu. Mungkin kerana mereka berasa mampu menyumbang sesuatu kepada syarikat maka mereka menerima jawatan yang ditawarkan.

Lebih-lebih lagi ganjaran yang diterima pula agak lumayan sebagai ahli lembaga pengarah. Jadi, kerusi ahli-ahli lembaga pengarah menjadi rebutan. Walhal kalau dikaji dengan mendalam, tanggungjawab ahli-ahli lembaga pengarah dalam syarikat senaraian awam amat besar sama sekali.

Bagi yang benar-benar berasakan tidak mampu menunaikan tanggungjawab besar berkenaan, berkemungkinan besar tidak sanggup menerima jawatan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat senaraian awam. Tetapi malangnya, ramai yang berasakan dirinya mampu meskipun sudah berumur dan begitu lama dalam hierarki tertinggi syarikat.

Berkaitan dengan peratusan rendah kaum bumiputera dalam syarikat senaraian awam, sekali lagi ia tidak menggambarkan realiti sebenar komposisi kaum majoriti di negara kita apabila hanya 34 peratus bumiputera adalah pengurusan tertinggi syarikat senaraian awam.

Adakah ini bermaksud kaum bumiputera tidak layak diangkat sebagai pengurusan tertinggi? Atau hanya kerana ekonomi dan syarikat-syarikat Malaysia dikuasai oleh satu kaum sahaja, maka kaum bumiputera tidak sesuai menduduki hierarki tertinggi syarikat?

Apa pun faktornya, keadaan ini sewajarnya diperbetulkan kerana realitinya, kaum bumiputera semakin ramai berpendidikan tinggi, layak dan mampu diangkat sebagai pengurusan tertinggi syarikat senaraian awam. Kalau keadaan ini masih berlarutan, keadilan sosial bagi semua kaum hanya tinggal omong-omongan semata-mata.
Malaysia Di Sebalik Tadbir Urus Yang Pelbagai Malaysia Di Sebalik Tadbir Urus Yang Pelbagai Reviewed by Admin on April 16, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.