Seo Services

PBB Satok Akan Lancar Tabung Amanahnya Sendiri

KUCHING, 12 April (Bernama)-- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok akan melancarkan tabung amanahnya sendiri dalam bidang pengurusan aset dan hartanah yang akan diuruskan oleh Perbadanan Pelaburan Satok (PPS).

Menteri Perumahan dan Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata matlamat mewujudkan tabung amanah itu ialah bagi membolehkan Bumiputera di kawasan Satok melibatkan diri dalam pembangunan kawasan perniagaan di Satok yang pesat.

Abang Johari berkata tabung amanah itu dengan modal pelaburan permulaan sebanyak RM2 juta akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Model yang akan kami pakai adalah berdasarkan Permodalan Nasional Bhd (PNB)dan kami telah membincangkannya dengan Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Tabung Amanah itu akan mempunyai modal awal sebanyal RM2 juta dan dalam tiga tahun kami akan memiliki dana sebanyak RM5 juta," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PBB cawangan Satok di sini Jumaat malam.

Abang Johari berkata mereka yang berminat untuk melabur dalam tabung amanah itu boleh membeli saham mereka dengan harga RM1 seunit.

Beliau berkata penubuhan tabung amanah itu bagi melindungi kepentingan Bumiputera di kawasan itu, terutamanya bagi mengelakkan hartanah milik Bumiputera daripada bertukar tangan ke pihak lain memandangkan pembangunan pesat di kawasan itu terutamanya di Jalan Kulas, Jalan Satok dan Jalah Haji Taha serta kawasan di sekitar masjid negeri.

"Tiada unsur perkauman di sini tetapi di kalangan orang Islam di bawah Undang-undang Syariah jika pemilik hartanah meninggal dunia, hartanah itu perlu dibahagi-bahagikan di kalangan pewaris atau adik-beradik si mati.

Dalam sesetengah kes hartanah ini perlu dijual dan hasil jualannya diagih-agihkan di kalangan pewaris tetapi dalam kebanyakan kes hartanah itu dijual di pasaran terbuka dan dibeli oleh bukan Bumipuetra kerana tidak ramai Bumiputera yang mampu membelinya," katanya.

Oleh itu, Abang Johari berkata dengan mewujudkan tabung amanah itu, PPS akan membeli hartanah-hartanah itu dan menyewakannya dan jika pemilik-pemilik mahu membelinya balik, mereka boleh berbuat begitu pada kadar harga pasaran semasa.

Abang Johari berkata harga pasaran semasa rumah kedai di Satok boleh menjangkau RM2 juta seunit di mana pembeli-pembeli Bumiputera tidak mampu membelinya.

Beliau juga berkata terdapat beberapa kes di Satok di mana selepas kematian pemilik-pemilik hartanah, pewaris-pewaris menjual aset itu kepada bukan Bumiputera kerana tiada pembeli daripada golongan itu.

Kes yang sama juga telah berlaku kepada hartanah yang di miliki Bumiputera di Kampung Dagang di Miri dan Kampung Nyabor di Sibu yang dijual kepada bukan Bumiputera.

Beliau berkata tabung amanah yang sama juga akan ditubuhkan di kawasan lain di seluruh negeri, bukan hanya untuk mempertahankan harta milik Bumiputera tetapi bagi membantu pewaris-pewaris untuk menguruskan hartanah yang diwarisi mereka.

Bekas Setiauasa Kerajaan Negeri Tan Sri Abdul Aziz Hussain akan dilantik sebagai pengerusi PPS.-- BERNAMA

PBB Satok Akan Lancar Tabung Amanahnya Sendiri PBB Satok Akan Lancar Tabung Amanahnya Sendiri Reviewed by Admin on April 12, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.