Seo Services

Taib Mahmud berjaya transformasi Sarawak

SIBU - Bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah berjaya mentranformasikan Sarawak dari segi fizikal, sosial dan ekonomi sepanjang lebih 30 tahun menerajui pentadbiran negeri, kata Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Sri Wong Soon Koh.   

Beliau berkata, semasa di bawah pentadbiran Taib, Sarawak mengalami tiga fasa perubahan iaitu bermula daripada pelaksanaan dasar Politik Pembangunan dan disusuli gelombang pembangunan dikenali sebagai “The New Reality” dan kini SCORE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak) sedang giat dilaksanakan.  

Katanya sebagai Ketua Menteri ketika itu, beliau memiliki sikap berani, optimisme dan semangat untuk melaksanakan pelbagai dasar untuk membangunkan Sarawak sehingga mengecapi kejayaan sekarang.   

"Sarawak sangat bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin hebat seperti Taib yang kini telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri.   

"Satu demi satu masalah diselesaikan, membawa kepada kemajuan dan pembangunan yang rancak serta mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang lebih baik kepada rakyat," katanya semasa berucap pada majlis makan malam sempena lawatan rasmi pertama Taib sebagai Yang Dipertua Negeri dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib ke bandar ini, di sini malam tadi.  

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing, menteri-menteri muda kabinet Sarawak, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.   

Wong berkata semasa mula menjadi Ketua Menteri pada tahun 1981, Taib terpaksa mengharungi cabaran getir, keadaan keperluan dan kemudahan infrastruktur daif, tenaga kerja tidak mencukupi untuk menerokai dan mengekploitasi sumber kekayaan negeri, pasaran domestik kecil serta kemiskinan berleluasa. 

Melalui dasar “The New Reality” katanya, keutamaan dan hala tuju pembangunan Sarawak ditetapkan manakala SCORE menyediakan kerangka dan komitmen pembangunan lebih pesat untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri kaya dan rakyat berpendapatan tinggi.   

Wong yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Pembangunan Komuniti negeri berkata dengan pelantikan Taib sebagai Yang Dipertua Negeri akan dapat memberi dorongan kepada rakyat Sarawak untuk bekerja bersama-sama bagi mengecapi kesenangan dan kemakmuran dalam hidup. - Bernama

Taib Mahmud berjaya transformasi Sarawak Taib Mahmud berjaya transformasi Sarawak Reviewed by Admin on April 12, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.