Seo Services

Kerajaan China bawa balik rakyat dari Vietnam


HANOI 19 Mei - Dua buah kapal China tiba di pelabuhan Vung Ang di Ha Tinh, Vietnam hari ini dalam usaha membawa keluar rakyatnya berikutan sentimen anti-Beijing yang bertukar ganas sejak minggu lalu berhubung tuntutan bertindih wilayah maritim di Laut China Selatan.

Akhbar People's Daily dalam laman sosial Twitter melaporkan, kapal Wuzhishan dan Tongguling kini sudah berada di Vietnam, dan dijangka akan berlepas pulang ke tanah air malam ini.

Menurut laporan syarikat penyiaran China, CCTV, dua buah kapal lagi sedang dalam perjalanan untuk memindahkan kira-kira 4,000 warganegara China di negara ini selepas tunjuk perasaan ganas membantah tindakan China memindahkan pelantar minyak di Laut China Selatan tercetus.

Pihak berkuasa China semalam memberitahu, sebanyak 3,000 orang rakyat China sudah dihantar pulang semalam, manakala lebih 4,000 orang lagi menunggu masa untuk dipindahkan, selepas kerajaan China berjanji mahu menghantar lima buah kapal bagi melaksanakan operasi tersebut.

Seramai dua orang rakyat China terbunuh dan kira-kira 140 orang lagi cedera, selepas penunjuk perasaan bertindak membakar dan memusnahkan beratus-ratus syarikat asing di Vietnam sejak minggu lalu.

Pegawai berkata, pihak berkuasa menempatkan beratus-ratus anggota pasukan keselamatan bagi meredakan ketegangan, selain menahan lebih 300 orang individu yang terlibat dalam tunjuk perasaan itu.

Menurut kumpulan hak asasi, penunjuk perasaan ditahan di beberapa buah lokasi sehingga menyebabkan mereka terpaksa menyembunyikan diri di rumah.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan membatalkan sebahagian daripada program dua hala dan menghalang rakyat China melancong ke Vietnam buat sementara waktu.

“China akan meningkatkan amaran keselamatan kepada rakyatnya, selain akan menasihati mereka supaya tidak berada di Vietnam dalam masa terdekat," jelasnya.

Agensi berita Xinhua turut melaporkan, beberapa buah agensi pelancongan utama negara ini sudah membatalkan program lawatan mereka ke Vietnam. - AFP


Kerajaan China bawa balik rakyat dari Vietnam Kerajaan China bawa balik rakyat dari Vietnam Reviewed by Unknown on May 20, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.