Seo Services

Beri Penekanan Terhadap Pendidikan - Yang Dipertua Sarawak

KUCHING, 31 Mei (Bernama) -- Dalam perutusan pertama beliau sebagai Yang Dipertua Negeri bersempena sambutan Hari Gawai, Ahad, Tun Abdul Taib Mahmud mengingatkan seluruh kaum di Sarawak memberi penekanan penting kepada pendidikan anak bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam negeri, terutama bidang teknikal.

Beliau berkata menjelang tahun 2030, lebih ramai pekerja terlatih dalam bidang teknikal diperlukan di negeri ini, dengan anggaran 30 peratus peluang pekerjaan yang ditawar Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) merujuk kepada pekerja dengan kemahiran teknikal.

Katanya, kerajaan sedang giat melabur dalam pembinaan pelbagai keperluan infrastruktur, terutama di luar bandar, agar kawasan itu dapat dimajukan bersama dalam ekonomi baharu berasaskan kepada pertanian moden dan perniagaan yang muncul seiring dengannya.

Abdul Taib berkata selain universiti, kerajaan mewujudkan banyak institusi latihan teknikal dan vokasional bagi kemudahan belia dan menasihati ibu bapa mendidik anak masing-masing untuk menyedari peluang pembangunan yang menanti mereka.

Katanya, inilah gambaran yang ingin dipapar beliau kepada seluruh rakyat Sarawak, khususnya kaum Dayak pada Hari Gawai, kerana beliau merasakan perbincangan berkaitan peluang besar dalam melakar perubahan negeri ketika ini perlu perlu dihayati semasa merai perayaan itu.

Abdul Taib yang dilantik Yang Dipertua Negeri pada 1 Mac lepas, melahirkan kesyukuran secara keseluruhan, rakyat di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum, dapat hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni.

Beliau berkata persefahaman dan perpaduan yang dinikmati selama ini membentuk satu asas kukuh bagi membolehkan seluruh rakyat bekerjasama memajukan negeri.

Abdul Taib berkata keharmonian dan perpaduan rakyat Sarawak boleh dikatakan sudah menjadi suatu budaya dan teras penting dalam menjalankan semua kegiatan dalam negeri.

"Itulah sebabnya maka senang sekali untuk menjalankan politik kita, supaya dapat terus bersatu padu dan tidak menimbulkan perasaan bimbang dalam kalangan mana-mana pihakpun," katanya.

--BERNAMA
Beri Penekanan Terhadap Pendidikan - Yang Dipertua Sarawak Beri Penekanan Terhadap Pendidikan - Yang Dipertua Sarawak Reviewed by Admin on June 01, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.