Seo Services

Cubaan seludup haiwan eksotik gagal

Sebahagian daripada 1,920 kura-kura katup yang dirampas oleh UPP sebelum sempat diseludup ke Thailand.

KUALA KRAI - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1,920 kura-kura katup bernilai RM200,000 ke negara jiran melalui Pengkalan Haram Che Aziz, Kampung Derdap, Tumpat, dekat sini, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohd Khairi Ahmad berkata, haiwan berkenaan dipercayai akan dibawa ke negara jiran untuk dijual sebagai makanan eksotik dan disembunyikan dalam timbunan tong ikan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, empat anggota UPP Pengkalan Kubur mengekori sebuah lori jenis Hikom Perkasa di kawasan Bunut Susu, Tumpat setelah mendapat maklumat dan membuat intipan selama sebulan.

"Apabila menyedari kehadiran penguat kuasa, pemandu kenderaan terbabit memecut kenderaan dinaikinya menuju ke Kampung Derdap.

Pemandu tersebut bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan terjun ke Sungai Golok," katanya pada sidang media di Pejabat Perhilitan Kuala Krai, di sini, semalam.

Mohd Khairi berkata, haiwan berkenaan diletakkan dalam 160 bekas yang setiap satunya mengandungi antara 10 hingga 13 ekor kura-kura katup dan sebahagiannya telah mati.

Menurutnya, berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan ditahan, haiwan berkenaan dipercayai di bawa dari Terengganu dan rampasan ini merupakan kes pertama pada tahun ini.

"Haiwan ini dipercayai mempunyai nilai tinggi dalam aspek perubatan bagi masyarakat Cina dan dibawa ke Thailand untuk dijadikan makanan, bukan untuk dipelihara.

"Berdasarkan pemerhatian, kura-kura katup ini baru berusia sekitar dua hingga tiga tahun," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku kegiatan membawa masuk haiwan lain sebagai makanan eksotik ke negara jiran dan merupakan sindiket terancang, tambahan Pengkalan Haram Che Aziz agak sunyi serta muda dijadikan laluan ke Thailand.

Tambah Mohd Khairi, pihaknya akan mendapatkan perintah mahkamah untuk melupuskan kura-kura katup tersebut dengan melepaskannya ke hutan bersesuaian dan lori terbabit akan disita.

Dalam pada itu, jurucakap Unit Risikan UPP Pengkalan Kubor, Koperal Zawayi Mohd Nor berkata, tiga kenderaan yang diletak di tepi jalan rosak dilanggar lori terbabit semasa dikejar UPP.

"Pemandu lori itu memandu secara berbahaya dalam usahanya melarikan diri dan mendatangkan bahaya kepada orang awam. Kejadian turut menyebabkan seorang individu cedera ringan," katanya.-SinarHarian

Cubaan seludup haiwan eksotik gagal Cubaan seludup haiwan eksotik gagal Reviewed by Unknown on June 24, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.