Seo Services

Kerajaan negeri komited bantu peniaga kecil bulan Ramadhan


KUCHING - "Saya harap pinjaman sebanyak RM1,500 ini diluluskan bagi membantu saya membeli beberapa barang keperluan menjahit kerana banyak tempahan baju yang perlu saya siapkan," kata Lily Abdullah, 52.

Lily, tukang jahit pakaian lelaki dan wanita, adalah antara peniaga kecil bumiputera yang memohon Skim Pinjaman Mikro-I Bazar Ramadan 2014.

Wanita yang mempunyai dua orang anak ini gigih mencari rezeki dengan mengambil upah menjahit sejak 20 tahun lalu meskipun fizikalnya kurang sempurna iaitu tidak mempunyai kaki kiri sejak kecil.

"Saya betul-betul mengharapkan bantuan pinjaman ini kerana saya bercadang mengambil seorang pekerja sementara bagi membantu menjahit.

"Jika hendak mengharapkan saya seorang dan modal yang sedia ada memang tidak mampu saya hendak menyiapkan kesemua tempahan baju kurung daripada pelanggan untuk hari raya ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui dalam majlis Pelancaran Skim Bazar Ramadan negeri yang disempurnakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan dan Usahawan) negeri, Datuk Mohd. Naroden Majais di Dewan Kompleks Belia dan Sukan di sini.

Sementara itu, Fairul Philip, 36, berkata, dia memohon pinjaman RM3,000 sebagai modal membeli barangan keperluan untuk berniaga nasi berlauk pada Ramadan ini.

Katanya, selepas beberapa tahun membantu rakan-rakan berniaga pada musim Ramadan, ini merupakan kali pertama dia akan berniaga bersendirian.

"Pada hari biasa saya telah menjual burger di Kota Sentosa tetapi ini kali pertama saya ingin mencuba nasib berniaga pada Ramadan.

"Saya harap permohonan pinjaman saya ini diluluskan kerana banyak barangan yang ingin dibeli seperti payung dan bekas-bekas makanan, selain bahan mentah," katanya.

Skim Pinjaman Mikro I-Bazar Ramadan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan di Dataran Senawang, Seremban Negeri Sembilan, 18 Januari lalu.

Skim itu merupakan pembiayaan khas untuk penjaja dan peniaga kecil bumiputera seluruh negara menjalankan perniagaan pada Ramadan bagi membantu menambah pendapatan.

Kerajaan negeri komited bantu peniaga kecil bulan Ramadhan Kerajaan negeri komited bantu peniaga kecil bulan Ramadhan Reviewed by Unknown on June 27, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.