BUKIT MERTAJAM - Polis hari ini mengesahkan kematian seorang lelaki yang merupakan tahanan reman berusia 26 tahun di Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini pada Sabtu akibat serangan sawan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Baharom Abu berkata, tahanan S. Aginraj disahkan mati pada pukul 7.05 petang semalam selepas dirawat di hospital berkenaan sejak Rabu lepas.
"Ketika ditahan, tahanan itu mengalami sesak nafas dan sawan, jadi pihak polis menghantarnya ke HBM untuk rawatan pada Rabu sebelum dilaporkan mati semalam.
"Hasil bedah siasat pada pagi tadi di Hospital Seberang Jaya di sini oleh Pakar Patalogi, Datuk Dr. Bhupinder Singh mendapati dia meninggal dunia kerana kekurangan oksigen ke otak yang menyebabkan sukar bernafas atau sawan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, tahanan berkenaan bersama seorang rakannya berusia 31 tahun ditahan di Perai dekat sini pada pukul 8.15 malam pada 2 Jun lalu selepas ditangkap oleh seorang pengawal keselamatan sebuah kilang ketika mereka memunggah 12 ketul besi jenis 'pig iron' menggunakan sebuah motosikal. - Bernama
No comments: