Seo Services

Awang Tengah simpati dengan mangsa kebakaran

BERSEDIH: Awang Tengah menahan kesedihan sebaik mendengar cerita mangsa kebakaran di Kampung Seberang Kedai semalam.
 
LIMBANG: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersimpati dengan mangsa kebakaran di Kampung Seberang Kedai yang terlibat dengan musibah tatkala bakal menyambut Aidilfitri seminggu lagi.
 
“Saya turut bersedih dengan kejadian kebakaran yang memusnahkan empat buah rumah dan dua buah rumah yang mengalami kerosakan sebahagian Khamis lalu.
 
“Saya berharap mereka bersabar dan sentiasa kuatkan semangat  dan iman menghadapi dugaan tersebut,” katanya sebaik meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Kampung Seberang Kedai Limbang semalam.
 
Turut sama isterinya, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan isteri, Dayang Maimunah Daud, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Limbang Selamat Jati, Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Ketua Kampung Seberang Kedai Rosli Rambli.
 
Khamis lalu, 16 keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dijilat api ketika umat Islam bakal menyambut Hari Raya seminggu lagi.
 
Segala persiapan Hari Raya yang dibeli oleh keluarga tersebut seperti baju raya, biskut dan kasut musnah dalam kebakaran yang menggemparkan penduduk di sini.
 
Sementara itu, kebanyakan mangsa kebakaran terpaksa menjadikan jambatan yang ditutupi dinding untuk dijadikan tempat berlindung dan dapur sementara.
 
Selebihnya, terpaksa menetap di rumah saudara-mara berdekatan.
Awang Tengah berkata, mangsa kebakaran perlu terus kuat dan bersabar menghadapi segala dugaan terutama pada bulan Ramadan ini.
 
“Tiada perkataan lain yang dapat menggambarkan kesedihan mereka dan kita berharap mereka terus kuat dengan dugaan Allah ini termasuk kejadian pesawat MH17 yang terhempas sekali gus mengorbankan semua penumpang,” tambahnya.
 
Beliau turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju membantu 12 ketua keluarga yang terjejas dalam kejadian itu dengan menyumbang sejumlah RM126,000.
 
Manakala empat keluarga yang mengalami kerosakan sebahagian akan menerima RM24,000.
“Kita juga akan menulis surat kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) untuk mendapatkan bantuan perumahan kepada mangsa terbabit,” katanya sambil menambah pemberian lot dan pembinaan rumah baharu turut diberikan kepada mangsa kebakaran Kampung Pemukat Limbang tahun lalu.
 
Selain menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran, Awang Tengah turut menyerahkan sumbangan peribadinya kepada lebih 100 ibu tunggal dan anak-anak yatim di sini semalam.-Utusan Borneo
Awang Tengah simpati dengan mangsa kebakaran Awang Tengah simpati dengan mangsa kebakaran Reviewed by uMieySurianie on July 21, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.