Berdasarkan video yang terpapar di laman-laman sosial, keadaan mayat yang duduk di bahagian depan pesawat dengan luka-luka yang dialami seakan-akan terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kelihatan juga serpihan besi dan tali pinggang terkoyak.
Bahagian depan pesawat nampak tidak diterjah terus oleh apa yang dikatakan peluru berpandu, sekali gus menandakan pesawat pecah dua di bahagian kepak, mewujudkan `hujan mayat' beribu-ribu kaki terus menjunam dan tidak meluncur sebelum terhempas.
Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur memakan masa 12 jam, dengan enam tan minyak untuk sejam. Sekurang-kurangnya antara 60 hingga 70 tan minyak terisi dalam tangki, antara punca pesawat terus terbakar apabila ditembak dan terhempas.
Dengan kapasiti penuh 280 penumpang berserta 15 anak kapal dalam pesawat Malaysia Airlines itu, bermakna tiada isu keselamatan pesawat atau integriti MAS meskipun MH370 sebelum ini gagal dikesan setakat ini.
Di sebalik ini, ia juga bermakna pesawat MH17 negara berada di tempat dan masa yang salah impak dalam konteks geopolitik. Sepatutnya apabila berlaku pergolakan antara Ukraine dan puak pemisah atau pemberontak pro-Rusia, pesawat awam tidak boleh ditembak. Ini satu kesilapan besar.
Sesungguhnya geopolitik semasa semakin halus. Nahas menimpa MH17 disebabkan peluru berpandu. Tetapi daripada mana datangnya? Jika puak pemisah, hanya Rusia sahaja mempunyai keupayaan menghasil atau memiliki senjata itu - justeru merekalah menyalurkan senjata itu kepada pemberontak. Ukraine kini pro-Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat sekali gus jika begitu, tragedi MH17 merupakan pertembungan geopolitik Amerika Syarikat dan Rusia, bukannya Malaysia-Belanda.
Jika perkara ini berlaku, kita risau kemungkinan nasib penumpang MH17 termasuk 45 rakyat Malaysia akan diketepikan tanpa pembelaan yang lengkap - hanya untuk menjaga kepentingan geopolitik pertarungan dua kuasa besar dunia itu.
Ini kerana selepas sejam nahas, kerajaan Ukraine terus menuduh pemberontak pro-Rusia sebagai puncanya. Pada masa sama, kawasan terhempas MH17 pula di bawah kawalan pemberontak, yang dikhuatiri akan menyembunyikan segala bukti dari kotak hitam.
Sebenarnya dalam menangani isu ini, ada protokol antarabangsa yang perlu dipatuhi iaitu International Aviation Organisation United Nation. Pesawat ini beroperasi di Malaysia manakala tempat kejadian di Ukraine.
Justeru, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia-Ukraine perlu bekerjasama dalam siasatan. Malah, negara pembuat pesawat Boeing ini, Amerika Syarikat juga perlu ambil bahagian. Kalau protokol diikuti, penyelesaiannya tidak akan rumit. Adalah sesuatu yang ideal, tempat terhempas MH17 di kawasan lapang dekat dengan kampung di timur Ukraine. Jadi, proses mengambil mayat dan mengutip serpihan bukti, mudah.
Cuma masalah besar di sini adalah geopolitik yang setakat sampai di 'pagar' sahaja. Penyiasat agak sukar untuk masuk ke kawasan nahas. Tambah lagi, budaya kerja orang Rusia (merujuk pada puak pemberontak) lain. Biasanya mereka mengikut hieraki ketenteraan. Terlalu regimental.
Dengan kedudukan Ukraine proAmerika/EU dan timur Ukraine/Crimea berpihak kepada Rusia, memungkinkan penglibatan Rusia akan menjadikan kemelut penyelesaian siasatan insiden menimpa MH17 ini menjadi bertambah rumit.
Apatah lagi kalau terbukti pemberontak pro-Rusia ini memang bersalah melancarkan peluru berpandu ke arah MH17, maka apa pernyataan yang akan dikeluarkan Rusia nanti? Rusia pasti ditekan hebat.
Cuma, masalah utama nanti bagaimana nak akses dalam proses siasatan? Dalam hal ini, kita amat mengharapkan Rusia tidak menggunakan kuasa veto. Benarkan sahaja kemasukan penyiasat antarabangsa dengan Majlis Keselamatan PBB sumber terbaik untuk menyatakan pendirian soal ini.
Nahas MH17 tidak sama dengan insiden menimpa pesawat Korea suatu ketika dulu. Semasa itu, penerbangan Korea tersebut tersasar jauh dari laluan, diberi amaran dua kali oleh pesawat Sukhoi Soviet. Tetapi dikatakan kerana masalah bahasa, amaran berpatah balik tidak dihirau, sebelum akhirnya ditembak.
Dalam nahas menimpa MH17, sudah ada cercaan dan kata-kata nista dilayangkan di laman-laman sosial mengapa MAS masih memilih laluan konflik, sedangkan Amerika Syarikat telah mengeluarkan amaran risiko melaluinya.
Difahamkan, amaran yang dikeluarkan oleh Amerika itu bukan berdasarkan ancaman pengganas tetapi kerana khuatir apabila terbang dan terjadi perang di laluan itu, ia berisiko berlaku pelanggaran kapal terbang.
Meskipun dikatakan sehari dua ini ada ancaman daripada pemberontak akan menembak pesawat yang melalui ruang udara di timur Ukraine, difahamkan ia merujuk kepada pesawat tentera Ukraine.
Memang setiap juruterbang akan dibekalkan dengan 'pilot report', antaranya mengandungi fakta berat pesawat, notis amaran cuaca dan landasan lapangan terbang yang dipendekkan. Dan kemungkinan amaran oleh pemberontak ini tidak dimuatkan dalam laporan.
Dalam menyelesaikan siasatan nahas MH17, kerajaan Ukraine harus bertanggungjawab. Menyalahkan puak pemberontak pro-Rusia semata-mata tidak memberi apa-apa makna.
Kumpulan penyiasat bebas antarabangsa dikelolakan Majlis Keselamatan PBB adalah jawapannya.
Menembak pesawat awam dalam konflik geopolitik tidak memberi sebarang faedah kepada Ukraine, Rusia dan mana-mana negara pun.
Meskipun serangan darat tentera Israel ke atas Gaza dibuat selepas tiga jam insiden MH17, apakah nahas ini juga memberi manfaat kepada rejim Zionis itu? Adakah mungkin nahas MH17 akibat kesilapan pengendali radar peluru berpandu atau geopolitik pertembungan kuasa-kuasa besar dunia?
Keadaan Ukraine tidak stabil boleh ganggu siasatan MH17
Reviewed by Unknown
on
July 21, 2014
Rating:
Reviewed by Unknown
on
July 21, 2014
Rating:





No comments: