KUCHING - Jawatankuasa masjid dan surau dinasihat supaya mempelbagaikan program pembangunan sosial dengan menjemput pakar dalam bidang khusus bagi membincangkan isu-isu yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, langkah itu bagi mendidik pemikiran dan mengubah persepsi masyarakat yang sering melihat masjid dan surau sebagai tempat untuk beribadat dan membincangkan perkara berkaitan agama semata-mata.
Katanya, senario itu wajar diubah kerana surau dan masjid memainkan peranan yang cukup besar dalam kehidupan masyarakat Islam malah fungsinya meliputi hampir kesemua aspek kehidupan.
"Kelazimannya program yang diadakan di masjid dan surau hanya berbentuk keagamaan Islam seperti perbincangan ilmu Tauhid, Usuluddin serta Fekah sedangkan skop itu boleh diperluaskan dengan mengaitkan isu-isu sosial.
"Sebagai contoh, antara perkara yang boleh dibincangkan di masjid dan surau adalah cara pemakanan sihat, perundangan, pentadbiran keluarga, hubungan suami isteri dan tanggungjawab membesarkan anak-anak," katanya.
Mengulas lanjut Fadillah berkata, jawatankuasa masjid dan surau boleh menjemput pakar-pakar berkenaan dari dalam dan luar negara bagi menggalakkan orang ramai ke tempat ibadat tersebut.
Katanya, perubahan tersebut digalakkan dilakukan ketika Ramadan ini kerana bilangan jemaah lebih ramai berbanding hari biasa.
Fadillah menyarankan penggunaan surau dan masjid harus dipelbagaikan
Reviewed by Unknown
on
July 09, 2014
Rating:
Reviewed by Unknown
on
July 09, 2014
Rating:

No comments: