KUCHING - Sebanyak 98.03 peratus murid tahun satu di seluruh negeri telah menerima pendidikan awal berbanding 97.66 peratus pada tahun lalu.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, peningkatan peratusan itu menunjukkan lebih ramai anak-anak di sini mendapat peluang pendidikan awal.
"Hanya 1.97 peratus anak-anak di sini tidak mendapat pendidikan awal. Kita sasarkan 100 peratus anak-anak yang berada di tahun satu mendapat pendidikan awal pada masa hadapan.
"Pendidikan awal sama ada di taman asuhan kanak-kanak (taska) atau taman didikan kanak-kanak (tadika) merupakan platform asas penting bagi melahirkan modal insan yang boleh berfikir secara kreatif dan inovatif serta berdaya saing," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) Siri Kedua 2014 di sini hari ini.
Fatimah menambah, bagi mencapai objektif itu, pihaknya menganjurkan program tahunan iaitu Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri 9 2014 pada 10 Oktober hadapan.
"Konvensyen ini bertujuan meningkatkan profesionalisme guru-guru prasekolah dan tadika bagi manfaat anak-anak kita.
"Hasilnya nanti, kita mahukan kualiti pendidikan awal yang mempunyai standard tinggi," jelasnya,
Sementara itu, Fatimah memberitahu, Pusat Pendaftaran Sehenti bagi taska akan diteruskan bagi memudahkan pengusahanya memenuhi semua syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan lesen.
"Sehingga kini, sebanyak 116 taska swasta yang telah berdaftar manakala 74 masih tidak berdaftar.
"Pusat ini yang di bawah satu jawatankuasa diketuai Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga negeri, Rosey Yunus akan membantu taska-taska berkenaan dalam mendapatkan lesen," ujarnya.
Peratus murid tahun satu menerima pendidikan awal meningkat
Reviewed by Unknown
on
July 09, 2014
Rating:
Reviewed by Unknown
on
July 09, 2014
Rating:

No comments: