KUCHING: Rekaan lengkap projek jalan baharu empat lorong dari Matang (Emart), dekat sini menuju Batu Kawa dan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching masih belum diperoleh, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.
Beliau berkata, kementerian sudah melantik perunding bagi membuat perincian projek bernilai RM145 juta itu yang turut melibatkan pembinaan jambatan merentasi Sungai Sarawak.
"Mereka mempunyai masa sehingga September depan untuk menyerahkan rekaan lengkap jalan baharu itu, dan ia perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri sebelum projek boleh dimulakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa projek jalan raya dan jambatan di Sarawak melibatkan peruntukan RM1 bilion belum dapat dilaksanakan kerana proses tender.
Isnin lepas, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi negeri Datuk Seri Michael Manyin berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) belum menerima arahan daripada Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur sama ada projek terbabit perlu diserahkan secara tender terbuka atau tender terpilih.
Mengulas lanjut mengenai jalan baharu itu, Fadillah berkata projek itu sudah diluluskan bersama beberapa projek lain di negeri ini.
"Selepas diluluskan proses pertama adalah untuk melantik penasihat untuk membuat perincian seperti jajaran berapa keluasan tanah yang perlu diambil dan akan buat rekaan sebelum diluluskan kerajaan negeri.
"Proses kedua adalah pelantikan kontraktor, biasanya dibuat menerusi proses tender terbuka atau tender terhad dan ia ditentukan oleh Kementerian Kewangan," katanya.
Fadillah berkata secara dasarnya semua prosedur untuk menyiapkan sesuatu projek yang diluluskan adalah sama, cuma beberapa faktor menyebabkan berlaku kelewatan pelaksanaan.
"Seperti projek Jambatan Samarahan pula, apabila ditender ia melebihi harga syiling jadi kita perlu kembali semula kepada Kementerian Kewangan sama ada melakukan rundingan dengan kontraktor atau buka tender baharu bagi mendapat kontraktor yang boleh buat projek ikut peruntukan yang ditetapkan," katanya.
- BERNAMA
Fadillah perjelas faktor projek jalan, jambatan di Sarawak tertangguh
Reviewed by Admin
on
July 06, 2014
Rating:
Reviewed by Admin
on
July 06, 2014
Rating:

No comments: