Seo Services

Hasrat Yana Samsudin tercapai

AKTRES Yana Samsudin melahirkan rasa syukurnya apabila sebahagian daripada hasratnya pada tahun ini, tercapai.

Jelas pelakon berusia 29 tahun ini, antara impiannya yang tercapai pada tahun ini adalah apabila muncul sebagai pengacara dan penyanyi.

"Alhamdulillah, walaupun tahun ini belum lagi berakhir tetapi sasaran saya telah tercapai.

"Tahun ini, memang strategi saya untuk muncul sebagai pengacara dan ia direalisasikan melalui program TV realiti memancing, Juara Joran terbitan Astro.

"Pada masa sama, karier saya dalam bidang nyanyian turut berkembang apabila saya di undang oleh Tomok untuk berkolaborasi dengannya menerusi lagu, Cinta Tak Pergi yang akan dimuatkan dalam album terbaharunya nanti," katanya ketika ditemui selepas pelancaran program Juara Joran, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai bidang pengacaraan yang baru diceburinya itu, pemilik nama sebenar Norliana Samsudin ini mengakui kulitnya kini berubah menjadi gelap.

"Gara-gara berjemur dan berpanas akibat memancing, kulit saya berubah menjadi gelap. Jika nak tahu, saya tidak pernah minat memancing, tetapi apabila mendapat tawaran menjadi pengacara, saya mulai ambil peduli tentang hal-hal yang berkaitan dengan memancing.

"Mulanya, saya sangka menangkap ikan itu mudah dan berfikir sesiapa saja pun boleh memancing. Tapi apabila mencuba sendiri, barulah saya tahu memang semua orang boleh menangkap ikan tetapi tidak semua orang ada kemahiran memancing.

"Tetapi, saya anggap ini adalah cabaran yang perlu ditempuhi apabila menerima tawaran menjadi pengacara Juara Joran iaitu program realiti TV memancing," katanya.

Dalam Juara Joran, Yana digandingkan dengan juara Masterchef Selebriti Musim Pertama, Datuk Fazley Yaakob yang turut bertindak selaku pengacara bersama.

Begitu pun, pelakon Adnan Sempit ini memberitahu, 'hatinya' tetap setia pada dunia lakonan yang diceburinya sejak lebih lima tahun lalu.

"Saya tetap setia pada lakonan dan secara jujurnya, memang dari tahun lepas saya sudah pun kurangkan aktiviti lakonan.

"Bukan kerana tiada tawaran, tetapi saya yang tidak mahu menerimanya," katanya yang kini menguruskan sendiri perjalanan karier seninya melalui Yana Super Friend (YSF) sejak Mac lalu.

Jual kuih raya

Dalam pada itu, sempena Ramadan ini juga, anak kelahiran Yong Peng, Johor ini mulai sibuk dengan perniagaannya, Yana Super Cookies yang diceburi sejak empat tahun lalu.

"Kami sudah mula menerima tempahan yang kebanyakannya daripada pelanggan setia kami.

"Kelainan untuk tahun ini, apabila saya sudah membuka kedai di USJ 1, Subang Jaya bagi memasarkan produk ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yana kini sibuk dengan penggambaran untuk telefilem raya terbitan Astro dan TV3.

"Menjelang Aidilfitri ini, saya akan muncul dengan filem terbaharu, Adnan Sempit Sawadikap disamping Shaheizy Sam, Along Raja Lawak, Angah Raja Lawak dan Intan Ladyana," katanya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran telefilem 7 Hari Nak Raya.
Hasrat Yana Samsudin tercapai Hasrat Yana Samsudin tercapai Reviewed by uMieySurianie on July 03, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.