Seo Services

Hijrah selebriti: 'Perlu seimbang luaran, dalaman'

NAMA penceramah selebriti ini bukanlah asing dalam industri seni tempatan. Malah beliau sentiasa menjadi tumpuan ke mana sahaja kakinya melangkah.

Meskipun komitmennya dalam bidang ilmu agama memerlukan beliau fokus kepada bidang pilihan, namun setiap perubahan yang berlaku di dalam industri seni tidak pernah diketepikan.

Begitulah pendirian Ustaz Kazim Elias, baginya, sebagai seorang penceramah juga perlu mengikuti setiap isu tidak kiralah berkaitan artis, masyarakat dan negara.

Kerana itu, penghijrahan selebriti ke arah kebaikkan turut mendapat perhatiannya. Pesannya, dalami ilmu agama secukupnya bukan sekadar berubah penampilan semata-mata. Dan penghijrahan itu diharap bukanlah sekadar luaran sahaja sebaliknya biarlah seimbang dengan dalaman.

"Perubahan positif dalam kalangan selebriti sebenarnya sangat bagus, tetapi hendaklah dipastikan ia bukan kerana 'trend' semata-mata," tegasnya pada sidang media program Kembara U.K.E di Berjaya Times Square baru-baru ini.

Akui penceramah yang terkenal dengan program Kalau Dah Jodoh ini, bukan mudah menjadi ustaz dan ustazah sementelah tiada istilah 'ustaz atau ustazah segera' di dunia ini.

"Bukan bererti memakai tudung atau baru mendalami ilmu agama kita sudah boleh memberi ceramah kepada masyarakat.

"Jika tidak betul info yang hendak disampaikan, pasti memburukkan keadaan," katanya.

Tambah Ustaz Kazim, pengaruh selebriti yang sering dianggap ikon atau idola oleh peminat juga memerlukan selebriti ini lebih berhati-hati selepas berhijrah.

"Adakala kerana terlalu obses dengan selebriti, apa yang dilakukan mereka sentiasa menjadi ikutan, walhal mereka tidak sedar ada sesetengah perkara yang dilakukan kurang sempurna dan ini boleh menjejaskan pengikut mereka," katanya hampir lima tahun melibatkan diri bersama selebriti dan cuba mendekati mereka untuk berkongsi ilmu.

Katanya lagi, lebih memburukkan keadaan apabila media sosial yang sedia ada menyebarkan segala perlakuan dan tingkah laku golongan tersebut di Facebook, Twitter mahupun YouTube dalam masa beberapa saat sahaja.

"Apapun, saya harap peminat dan masyarakat tidak menghukumi mereka dengan mudah, sebaliknya sama-samalah kita menegur atau menasihati dengan cara yang lebih lembut," katanya.

Dakwah atas kapal

Berbicara mengenai Kembara U.K.E, Ustaz Kazim memberitahu, ini adalah pertama kali dalam sejarahnya sebagai penceramah beliau mengadakan program bersama peminat di atas kapal mewah Star Cruise ke beberapa destinasi iaitu Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan Phuket, Thailand.

Jelasnya, pendekatan ini diambil supaya peminat dapat menghabiskan masa bersamanya sepanjang program ini diadakan.

"Bukan sekadar pelayaran semata, tetapi pihak penganjur sudah menyusun pelbagai aktiviti sempena kembara ini.

"Ia turut melibatkan kuliyah selepas waktu Subuh dan Maghrib serta tazkirah ketika matahari terbit dan terbenam," katanya setakat ini lebih 600 peserta sudah mendaftarkan diri dan masih mempunyai hampir 100 kekosongan.

Jelasnya, mereka juga berpeluang singgah di Langkawi dan Thailand untuk berjumpa masyarakat Islam di sini. "Program ini sangat istimewa kerana bukan mudah untuk meluangkan masa bersama saya disamping mengikuti pelbagai program ilmu yang menarik.

"Lebuh-lebih lagi program berlangsung dengan gaya yang santai dan peminat akan berasa lebih selesa," katanya mendapat kerjasama baik dari pihak Star Cruise untuk memastikan program ini berjalan lancar.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim turut menyuarakan harapannya, supaya akan ada syarikat pelayaran yang menyediakan pelayaran berasaskan Islam.

"Saya yakin ramai umat Islam di luar sana yang mahu mencuba pengalaman berlayar di kapal mewah seperti Star Cruis, tetapi kerana hal-hal tertentu mereka bimbang melanggar hukum syarak dan sebagainya.

"Dengan adanya pelayaran bercirikan Islam, mereka boleh belayar tanpa perasaan ragu," katanya.

Terkilan jarang bersama keluarga Tidak lupa bertanya mengenai sisi peribadinya, Ustaz Kazim melahirkan rasa terkilan kerana jarang mempunyai masa bersama keluarga.

Akuinya, anak-anak sering merungut kerana tidak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka.

"Jadual saya sangat padat sehinggakan waktu cuti memang tidak termasuk dalam jadual. Saya suka kerana mendapat undangan daripada banyak pihak tetapi saya terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga.

"Bagaimanapun, ini sudah tugas saya dan saya berterima kasih kerana mereka dapat menerimanya dengan baik," katanya terpaksa mencuri waktu dengan menutup talian telefon bimbit apabila bersama keluarga.

Pernah juga Ustaz Kazim ke Vietnam bersama keluarga tetapi dia tetap dikenali di negara itu.

"Saya ingat bolehlah luangkan bercuti dengan mereka tanpa gangguan sebaliknya sama juga sambutannya seperti di Malaysia," katanya.-Sinar Harian
Hijrah selebriti: 'Perlu seimbang luaran, dalaman' Hijrah selebriti: 'Perlu seimbang luaran, dalaman' Reviewed by uMieySurianie on July 07, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.