
KUALA LUMPUR: Pusat Darah Negara (PDN) memerlukan bekalan darah tambahan kerana bekalan sedia ada berkurangan ekoran peningkatan kes demam denggi di negara ini.
Pakar Perubatan Bahagian Perolehan PDN Dr Noorasrina Ishak berkata platelet yang diperoleh daripada darah bagi keperluan pesakit demam denggi hanya mampu bertahan sehingga lima hari sekaligus memaksa PDN mencari lebih banyak bekalan darah itu bagi menampung keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
"Platelet adalah sel darah yang mengalir dalam saluran darah dan berfungsi menghentikan pendarahan jika ia berlaku.
Dalam kes demam denggi ia menyebabkan bilangan platelet pesakit menurun dan mungkin menyebabkannya mengalami pendarahan dan risiko kematian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.
Justeru, penambahan platelet dapat meningkatkan semula sel darah itu dan membantu pesakit kembali sembuh.
Beliau berkata orang ramai sering menganggap derma darah hanya membabitkan pengambilan sel darah merah namun ia sebenarnya turut melibatkan dua lagi jenis komponen pendermaan iaitu platelet dan plasma.
"Sel darah merah biasanya digunakan untuk masalah kekurangan hemoglobin seperti penyakit buah pinggang dan kanser.
"Platelet pula diperlukan untuk pesakit yang mengalami demam denggi dan leukimia manakala plasma diperlukan sekiranya berlaku pendarahan ketika bersalin, melecur akibat kebakaran dan pendarahan disebabkan kerosakan hati," katanya.
Beliau berkata darah yang dikumpul PDN mempunyai tarikh luput tertentu seperti sel darah merah yang boleh bertahan sehingga 42 hari, platelet (lima hari) dan plasma (tiga tahun), sekaligus memerlukan PDN mencari penderma baru bagi menggantikan stok darah berkenaan.
Katanya PDN giat menjalankan pelbagai kempen bagi memastikan stok ketiga-tiga jenis komponen pendermaan itu mencukupi kerana ia mempunyai kepentingan dan kegunaan pesakit-pesakit tertentu.
"Kita tidak boleh bergantung kepada stok yang ada sahaja sebab itu kita adakan pelbagai kempen untuk meminta orang ramai terus menderma darah," katanya.
Dalam usaha menggalakkan lagi orang ramai menderma darah, PDN turut menjalankan kempen "Penderma Memperkenalkan Rakan Untuk Menderma Darah" bermula 5 Julai lepas.
"Kempen ini kita saran penderma memperkenalkan seorang rakan yang pertama kali menderma darah dan sebagai tanda penghargaan PDN memberi cenderahati kepada penderma dan rakan mereka yang kali pertama menderma darah," katanya.
Sementara itu, bagi meningkatkan lagi bekalan darah semasa bulan Ramadan, pihaknya turut melanjutkan waktu menderma darah sehingga 9 malam bagi memberi peluang penderma yang beragama Islam menunaikan tanggungjawab berpuasa.
"Sebenarnya tidak salah menderma ketika sedang berpuasa cumanya ramai yang tidak berpeluang berbuat demikian atas kekangan masa menyiapkan juadah berpuasa dan menunaikan ibadah lain.
Jadi kita memahami dan melanjutkan waktu menderma sehingga malam," katanya. Beliau juga berharap kesedaran menderma darah ini akan terus meningkat untuk memastikan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya 1.4 juta jumlah penderma tetap untuk mencapai sasaran lima peratus yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi negara maju.- BERNAMA
Kes Denggi Meningkat, Pusat Darah Negara Perlu Bekalan Tambahan
Reviewed by Unknown
on
July 21, 2014
Rating:
No comments: