
Mangsa yang dikenali sebagai Hamidi Wasli, 64, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di kepala.
Terdahulu menurut sumber, sebelum kejadian sekitar jam 7.30 malam itu, mangsa yang berbaju Melayu biru berjalan kaki seorang diri menuju ke Masjid At-Taqwa di sini untuk bertarawih.
Ketika melintas jalan, mangsa yang tinggal di kampung berkenaan dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo yang dipandu seorang pemuda berusia 22 tahun.
Akibatnya, mangsa terpelanting ke tengah jalan sebelum digilis sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah sama.
Menurut sumber, orang awam cuba memberhentikan kereta berkenaan dengan membuat isyarat tangan, namun tidak diendahkan pemandunya kerana menyangka orang berniat buruk terhadapnya. Malahan, menurut pemandu terbabit, dia tidak nampak sebarang objek di atas jalan kerana keadaan yang gelap.
Difahamkan, mangsa dijadualkan pulang seketika ke kampungnya di Mukah semalam sempena bulan Ramadan ini.
Berikutan itu, sepasukan polis trafik dan kakitangan perubatan dari Hospital Miri bergegas ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan tentang kemalangan tersebut.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk bedah siasat, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kemalangan itu.-BP
Lambaian tarawih
Reviewed by Unknown
on
July 04, 2014
Rating:
No comments: