Seo Services

Lebih Banyak Jawatan Tinggi Untuk Tarik Doktor Pakar Berkhidmat Di Sarawak

KUCHING, 4 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang mewujudkan lebih banyak jawatan tinggi di hospital seluruh Sarawak dalam usaha menarik lebih ramai doktor pakar berkhidmat di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata cabaran yang dihadapi pihak pengurusan kesihatan di Sarawak memerlukan langkah itu dilaksanakan dalam usaha meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan penyampaian kesihatan negeri.

Beliau berkata ketika ini Sarawak mempunyai 213 jawatan doktor pakar dan 93 peratus daripada jawatan itu telahpun diisi.

"KKM akan berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya beri lebih banyak jawatan doktor pakar kepada Sarawak, selepas kelulusan diterima KKM akan berusaha mengisi jawatan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi dan sesi perbincangan hampir tiga jam bersama pihak pengurusan kesihatan Sarawak di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini Jumaat.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Zulkifli Jantan dan Pengarah HUS Dr Chin Zin Hing.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata selain mewujudkan jawatan tinggi, KKM akan turut meningkatkan peluang dengan memberi latihan kepakaran kepada doktor-doktor yang sedang berkhidmat di Sarawak.

"Ini antara usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini,. Selain itu ada permintaan agar elaun dan ganjaran dipertingkatkan supaya boleh menjadi tarikan, tetapi itu kena bincang dengan SPA dan JPA kerana ini menyentuh dasar sedia ada.

"Tetapi di peringkat KKM, kita akan buat apa sepatutnya dilakukan supaya lebih galakan diberi kepada doktor-doktor yang membuat keputusan untuk datang dan bekerja di sini dan seterusnya meningkatkan taraf kesihatan negeri ini," katanya.

Ketika diminta mengulas nisbah doktor dengan pesakit di negeri ini, beliau berkata nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia adalah 1:768, dan di Sarawak nisbah doktor kepada penduduk adalah 1:1200.

"Kalau dilihat nisbah doktor itu memang ada perbezaan. Kita sedang usaha macam mana untuk meningkatkan bilangan doktor, satu daripada usaha itu adalah memberi lebih banyak peluang untuk anak-anak dari Sarawak mengambil bidang perubatan di universiti swasta dan awam.

"Saya juga telah bangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri mengenai perkara ini. Melalui kerjasama dengan pemimpin-pemimpin di negeri ini kita sedang lihat kaedah terbaik supaya lebih ramai pelajar dari Sarawak menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran," katanya.-- BERNAMA

Lebih Banyak Jawatan Tinggi Untuk Tarik Doktor Pakar Berkhidmat Di Sarawak Lebih Banyak Jawatan Tinggi Untuk Tarik Doktor Pakar Berkhidmat Di Sarawak Reviewed by Admin on July 04, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.