KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan Bumiputera negeri menyasarkan pengagihan bantuan modal sebanyak RM280 juta kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh Sarawak pada tahun ini.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) negeri, Datuk Mohd. Naroden Majais berkata, bantuan di bawah Skim Pembiayaan Mikro itu telah mengagihkan sebanyak RM250 juta kepada golongan sasar termasuk penjaja sejak Januari lalu.
Katanya, di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) pula, kerajaan negeri mengagihkan dana sebanyak RM68 juta kepada usahawan yang menjalankan perniagaan bernilai RM2.5 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
"Ini merupakan beberapa usaha yang dilakukan kerajaan bagi menggalak dan memperkasakan golongan bumiputera dalam bidang keusahawanan serta perniagaan.
"Sebelum akhir tahun ini, saya harap lebih ramai golongan usahawan menghantar permohonan ke pejabat kami kerana kerajaan masih mempunyai peruntukan untuk diagihkan kepada yang layak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Jalan Bako di sini, Ahad lalu.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Naroden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan berkata, kerja pembinaan jambatan di Batang Sadong telah siap sepenuhnya dan kini menjadi laluan utama penduduk tempatan berulang-alik ke bandar raya ini.
Katanya, jambatan yang menghubungkan pekan Simunjan ke Kuching itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dalam kempen pilihan raya negeri akan datang.
"Majlis perasmian itu akan diadakan serentak dengan pelancaran Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Kadir di Gedong yang telah siap sepenuhnya Julai lalu.
"Kesemua kemudahan infrastruktur yang dibangunkan di kawasan itu merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Ketika mengulas tentang krisis air yang berlaku di kawasan Simunjan, Mohd. Naroden memberitahu, hanya beberapa tempat terletak di kawasan Sungai Batang Sadong yang terjejas akibat kemarau panjang.
Walau bagaimanapun katanya, kawasan tersebut iaitu Lubuk Punggok, Lubuk Sambu dan Kampung Penat tetap mendapat bekalan air daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengagihkan menggunakan lori tangki sejak pertengahan Julai lalu.-UtusanOnline.
RM280 juta bantu IKS di Seluruh Sarawak.
Reviewed by Unknown
on
August 06, 2014
Rating:
No comments: