Seo Services

KJ Jamin, Kes PKBM Diadili Dengan Telus

PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa kes berkaitan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan diadili dengan telus selepas Pesuruhjaya Sukan menilai jawapan surat tunjuk sebab persatuan tersebut.

Kata Khairy, pihaknya akan menunggu keputusan yang bakal dibuat oleh Pesuruhjaya Sukan terhadap PKBM terutama selepas menerima jawapan daripada badan induk sukan tersebut semalam.

Tambah Khairy, sekiranya PKBM digantung maka satu jawatankuasa ad-hoc akan dilantik untuk mentadbir sementara persatuan tersebut termasuk menjalankan semua program dan kejohanan yang bakal berlangsung.

“Bagi saya tiada masalah untuk meneruskan kejohanan yang sepatutnya berlangsung seperti Le Tour de Langkawi kerana jawatankuasa tersebut akan berhubung dengan pihak UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) untuk meneruskannya.

“Dalam masa sama juga saya tidak mahu pihak jawatankuasa ad-hoc terlalu lama mengambil alih PKBM sekiranya persatuan tersebut digantung dan sewajarnya proses pemilihan kepimpinan yang baharu harus segera dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Kejohanan Jemputan Hoki Ais di sini, semalam.

Selepas ini sekiranya Pesuruhjaya Sukan tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan oleh PKBM maka persatuan tersebut bakal digantung pendaftaran. Sekiranya itu berlaku PKBM hanya mempunyai satu cara untuk menyelesaikan isu itu di luar mahkamah, iaitu membuat rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, Khairy turut memberitahu sukan hoki ais kini berada dalam senarai pendek acara sukan yang bakal dipertandingkan oleh Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2017.

“Ada beberapa lagi sukan yang berada dalam senarai pendek dan sukan-sukan ini perlu membuktikan mereka layak dipertandingkan dalam Sukan SEA 2017, termasuk hoki ais kerana saya mahu hanya sukan yang mampu menyumbang pingat emas sahaja dipertandingkan.

“Dalam masa sama kami juga akan membina lebih banyak gelanggang untuk sukan hoki ais yang diyakini akan siap sebelum Sukan SEA 2017,” kata Khairy.- Suara TV
KJ Jamin, Kes PKBM Diadili Dengan Telus KJ Jamin, Kes PKBM Diadili Dengan Telus Reviewed by JANUARIUS on September 05, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.