Seo Services

Lawatan Beri Gambaran Suasana Hidup, Pembangunan Sarawak


KUCHING: Penganjuran program lawatan melibatkan rakyat dari negeri lain ke Sarawak mampu membuka mata dan memberi gambaran jelas tentang suasana hidup serta pembangunan yang dikecapi di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) Datuk Fatimah Abdullah berkata, terdapat rakyat di negeri lain beranggapan keadaan hidup masyarakat di Sarawak masih lagi mundur.

Justeru, beliau amat menyokong agar lebih banyak program lawatan melibatkan penyertaan dari rakyat dari Semenanjung Malaysia ke negeri ini.

“Saya ingin berkongsi kisah sewaktu menuntut di universiti sekitar tahun 70-an di mana dahulu orang berpendapat orang Sarawak masih tinggal di atas pokok, sebab itu saya amat menyokong program lawatan seperti ini bagi memberi peluang rakyat dari negeri lain bertemu, berinteraksi dan bersosialisasi sekali gus menghapuskan prasangka sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ramah Mesra Integrasi anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) melibatkan rombongan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari Sabah dan Kelantan di sebuah hotel di sini malam kelmarin.

Pada masa sama Fatimah memberitahu, program lawatan itu juga dapat menyuburkan lagi perpaduan dan integrasi antara rakyat di negara ini.

“Perpaduan dan integrasi tidak datang dengan sendiri kerana itu kita perlu menjalankan dan melaksanakan program serta aktiviti sama ada dalam jangka panjang mahupun pendek bagi menyuburkannya.

“Malah, melalui lawatan ini juga kita dapat melihat dengan mata kita sendiri keadaan sebenar di sesebuah negeri itu,” tambahnya.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid ketika berucap berkata, bilangan KRT di Sabah dijangka menjangkau 800 kawasan menjelang hujung tahun ini.

Menyentuh mengenai program lawatan itu, beliau memberitahu bahawa selain mengukuhkan perpaduan dan integrasi, ia dapat dijadikan landasan terbaik memperkenalkan produk tempatan.

“Di Sarawak memang popular dengan kek lapisnya begitu juga di Sabah tidak kurangnya, lawatan ini dapat memberi peluang kepada kami membantu meningkatkan ekonomi tempatan,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Timbalan Pengarah JPNIN Sarawak Giri Nyareng, Setiausaha Tetap KKWPK Rodziah Morshidi, Pengarah JPNIN Sabah Delin Liet Blaun, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Hassan Busu dan tetamu kehormat lain. - UB

Lawatan Beri Gambaran Suasana Hidup, Pembangunan Sarawak Lawatan Beri Gambaran Suasana Hidup, Pembangunan Sarawak Reviewed by JANUARIUS on September 30, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.