Seo Services

Malaysia Sedia Jadi Destinasi Pilihan Turki


ISTANBUL – TURKI. Malaysia bersedia untuk muncul sebagai destinasi pilihan pelancong Turki berikutan pakej menarik dengan harga berpatutan untuk percutian yang ditawarkannya.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Malaysia menerima kunjungan 12,775 pelancong Turki tahun lepas, dan berikutan pembukaan Pejabat Pelancongan Malaysia di Istanbul pada tahun sama, jumlah pelawat dari Januari hingga Mei tahun ini meningkat 62 peratus.

“Dengan kadar pertukaran wang asing yang baik, anda juga akan mendapati Malaysia sebuah destinasi yang berbaloi dikunjungi. Kadar hotel, makanan dan minuman kami, dan pilihan percutian gaya hidup yang lain adalah antara yang berharga paling rendah namun berkualiti tertinggi.

“Saya juga berani mengatakan bahawa di Malaysia, kemewahan mampu dinikmati,” kata beliau ketika berucap pada majlis minum petang bersama pengusaha pelancongan Turki dan media di Clarion Hotel and Suite di sini, semalam.

Mohamed Nazri kini berada di Turki bersempena pembukaan Minggu Kebudayaan Malaysia esok, satu acara yang bertujuan mempromosikan Malaysia dan mengetengahkan lagi budaya Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

Dalam ucapannya itu, Mohamed Nazri menyatakan bahawa kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 menyasarkan kunjungan kira-kira 28 juta pelawat dan 13,000 daripadanya adalah pelancong Turki.

“Kesalinghubungan antara kedua-dua negara juga menunjukkan peningkatan yang besar dengan 36 penerbangan mingguan menggunakan laluan Istanbul-Kuala Lumpur, kedua-duanya melalui penerbangan langsung dan tidak langsung dengan pesawat Turkish Airlines, Malaysia Airlines, Singapore Airlines, Emirates Airlines dan Qatar Airways.

“Dengan hadirnya kami di sini, kami berharap untuk melihat lebih banyak penerbangan terus dari sini yang akan memberikan lebih banyak pilihan dari segi laluan udara kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya. - Suara TV
Malaysia Sedia Jadi Destinasi Pilihan Turki Malaysia Sedia Jadi Destinasi Pilihan Turki Reviewed by JANUARIUS on September 05, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.