Seo Services

Pegawai Kerajaan Harus Fahami Perkara 20 Perjanjian Malaysia


SARIKEI: Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak (JPNIN) Dirwana Azool berkata setiap pegawai kerajaan harus memahami sepenuhnya Perkara 20 Perjanjian Malaysia.

Katanya langkah ini amat penting memandangkan golongan ini adalah orang perantaraan pihak kerajaan dengan peringkat akar umbi.

“Usaha dan pemahaman ini amat penting dalam memastikan setiap salah faham dan kurangnya pengertian sesetengah pihak tentang perkara terbabit dapat diperjelaskan dengan terperinci.

“Kita mahu setiap pegawai kerajaan diberikan penerangan berkaitan perkara ini sepanjang Program Orientasi Pegawai-Pegawai Persekutuan Perkhidmatan Awam di Sarawak agar dapat menjadi rujukan dan penjelasan kepada peringkat akar umbi dan menjernihkan setiap kekeliruan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil dan Malam Integrasi Program Orientasi Pegawai-Pegawai Persekutuan Perkhidmatan Awam Sarawak di Sarikei, malam kelmarin.

Menurut Dirwana, perkara 20 atau 18 Sarawak diberikan penekanan untuk mendedahkan pegawai-pegawai kepada sejarah penubuhan Malaysia.

Tambahnya, langkah itu sekali gus mengikis salah faham mengenai perjanjian itu.

“Kita berharap penerangan disampaikan peguam daripada Pejabat Peguam Negara memberi penerangan terperinci terhadap kandungan Perkara 20 terutama melibatkan perkara khas Sabah dan Sarawak seperti pendidikan, bahasa rasmi, agama dan imigresen agar difahami para pegawai.

“Dengan penerangan ini, peserta program mengetahui dengan mendalam kandungan Perkara 20 yang memberi keistimewaan tertentu kepada rakyat Sarawak dan Sabah yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Program orientasi selama enam hari lima malam mendedahkan peserta pelbagai perkara seperti budaya dan adat resam suku kaum di Sarawak, struktur pentadbiran negeri serta program anak angkat membawa mereka melawat ke rumah-rumah panjang sekitar Sarikei.

Seramai 65 pegawai persekutuan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah yang ditugaskan di Sarawak menyertai program itu.

Turut hadir Pegawai Daerah Sarikei Khalid Andong dan Pegawai JPNIN Bahagian Sarikei Ahmad Norkamal Abdul Malik. - UB
Pegawai Kerajaan Harus Fahami Perkara 20 Perjanjian Malaysia Pegawai Kerajaan Harus Fahami Perkara 20 Perjanjian Malaysia Reviewed by JANUARIUS on September 30, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.