Seo Services

Peluang Bagi Warga Emas Jalani Aktiviti Dalam Komuniti




Gambar-gambar sepanjang Program HomeHelp (Lawatan ke Rumah-rumah orang menerima bantuan Kebajikan sekitar MIRI)


MIRI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyasarkan pendaftaran lebih ramai warga emas berdaftar di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang bertujuan untuk memberi peluang kepada warga emas menjalankan aktiviti dalam komuniti.

Setakat ini terdapat 45 buah PAWE telah diwujudkan di seluruh Malaysia dengan pendaftaran seramai 21,489 orang warga emas. Manakala di Miri, bilangan warga emas yang telah berdaftar kini adalah seramai 12,690 orang dan merupakan pendaftaran yang tertinggi di Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata, warga emas sepatutnya mengambil peluang ini dengan menjadikan PAWE sebagai pusat aktiviti yang dapat mengelakkan mereka dari mengalami empty nest apabila mereka dapat berinteraksi dan berkomunikasi sesama mereka di sini.

“Sekurang-kurangnya, dengan adanya Program Muhibah@PAWE yang dijalankan serentak di seluruh Malaysia pada hari ini, kita menyasarkan agar lebih dari 40,000 warga emas berdaftar di PAWE bagi menggalakkan warga emas terlibat dengan aktiviti dalam komuniti seperti pembelajaran sepanjang hayat, mengajar Al-Quran, tazkirah dan sebagainya.

Melalui program sebegini juga, kita dapat menggalakkan penglibatan agensi swasta, kerjasama komuniti dan komitmen masyarakat dalam merancang dan melaksanakan program yang bersesuaian ke arah pembangunan dan kesejahteraan warga emas di kawasan luar bandar. Perancangan ke arah membangunkan PAWE boleh direncanakan melalui usaha sama syarikat-syarikat korporat dan JKM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Muhibah@PAWE di sini hari ini.

Menurut Rohani lagi, Program Muhibah@PAWE dilihat boleh dijadikan sebagai salah satu platform untuk mempromosikan PAWE serta memberi pendedahan mengenainya kepada komuniti. Dengan pengisian aktiviti seperti pameran yang berkonsepkan interaktif, pendaftaran ahli PAWE, pemeriksaan kesihatan, pertandingan karaoke, sukan, pertandingan fesyen kreatif, kuiz dan lain-lain aktiviti intergenerasi yang melibatkan kanak-kanak, belia dan warga emas akan melahirkan rasa dihargai di kalangan warga emas apabila mereka sedar mereka tidak dipinggirkan oleh masyarakat.

Pada hari yang sama juga, Rohani turut mengadakan Program Khidmat Bantu Di Rumah bagi klien warga emas yang terletak di Kg. Pangkalan Lutong, Kg. Tudan Lutong dan Kg. Sealine Lutong serta lawatan kerja di PDK Sunflower.

Turut hadir sama pada program tersebut ialah Robert Lawson Chuat Vincent Entering, Menteri Muda Kebajikan mewakili Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Dato’ Sabariah Hassan, Ketua Setiausaha KPWKM, Dato’ Norani Haji Mohd Hashim, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Abang Shamshudin Abang Seruji, Pengarah JKM Sarawak dan Marzuki Sulong, Setiausaha PAWE Miri. -Sarawakiana
Peluang Bagi Warga Emas Jalani Aktiviti Dalam Komuniti Peluang Bagi Warga Emas Jalani Aktiviti Dalam Komuniti Reviewed by Salfian Nawawi on September 07, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.