KOTA KINABALU: Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Shahril Yusof berkata, sejarah amat penting bagi mewujudkan sesuatu bangsa yang kukuh, kuat serta bersatu padu.
Menurutnya, tanpa mengetahui sejarah asal usul serta cara negara ditubuhkan akan menyebabkan seseorang individu itu mudah dipengaruhi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan isu serta fakta yang tidak tepat.
“Oleh itu, adalah penting untuk mempelajari sejarah bukan pada setakat menghafal nama, tahun dan sebagainya.
“Tetapi adalah penting untuk menghayati faktor yang terhasil atau yang mempengaruhi sehingga menyebabkan terjadinya sesuatu perkara itu,” katanya pada forum perdana peringkat universiti ’51 tahun pembentukan Malaysia: Bicara tentang Sabah’.
Beliau berkata, sejarah juga dapat membantu membangunkan diri sendiri disamping tidak akan mengulangi kesilapan yang sama terhadap sesuatu perkara yang pernah berlaku.
Justeru katanya, ia juga dijadikan sebagai panduan dalam membuat keputusan berdasarkan sejarah dahulu di samping memperbaiki apa yang ada pada masa kini.
“Mempelajari sejarah membolehkan kita membuat keputusan yang bijak serta membangun untuk menjadi satu bangsa Malaysia yang lebih kuat, yang lebih faham tentang diri, asal usul dan yang penting sekali tidak mengulangi kesilapan lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Forum yang dihadiri kira-kira 500 pelajar UMS itu membincangkan mengenai isu-isu dan persoalan mengenai Sabah berhubung dengan pembangunan ekonomi serta kejayaan yang dikecapi sepanjang tempoh 51 tahun Sabah dalam Malaysia.
Antara ahli panel yang hadir ialah pensyarah UMS yang mempunyai kepakaran berkaitan dengan sejarah iaitu Baszley Bee Basrah Bee, Prof Madya Dr Bilcher Bala, Dr Ramzah Dambul dan Dr Zaini
Othman manakala Moderator ialah Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FSKW) Prof Dato Mohd Hamdan Adnan.
Hadir sama, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKSW, Suzalie Mohamad dan tetamu kehormat yang lain. - UB
Sejarah Penting Sebagai Panduan
Reviewed by JANUARIUS
on
September 30, 2014
Rating:
No comments: