Seo Services

579 Belia Muflis Kerana Bebanan Hutang


Kadar belia berumur 25 tahun ke bawah yang diisytiharkan muflis di negara ini semakin membimbangkan, apabila seramai 579 individu direkodkan muflis dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan, berbanding keseluruhan 208 individu pada tahun lalu dan 130 individu pada tahun sebelumnya.

“Jumlah 579 individu berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan 12,381 individu yang diisytiharkan bankrap di negara ini, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini,” katanya pada program ‘Memperkasa Informasi Generasi Muda’ anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor serta Jabatan Perdana Menteri, pada Ahad.

Nancy berkata, bagi belia berumur 25 hingga 34 tahun pula, seramai 2,491 individu diisytihar muflis bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, manakala belia berumur 35 hingga 44 tahun pula seramai 4,121 individu.

Beliau berkata, kebanyakannya berpunca daripada kegagalan membayar balik pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi dan bayaran kad kredit.

Nancy berkata, kerajaan menerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menganjurkan program untuk orang ramai, khususnya belia bagi mendidik mereka cara menguruskan wang dengan bijak, sekali gus menangani bankrap.
Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana individu mahupun belia disaran mendapatkan nasihat agensi berkenaan ataupun bantuan awal, jika diisytihar bankrap.

“Berdasarkan maklum balas penganjuran beberapa program sebelum ini, kita dapati kebanyakan belia tidak mempunyai kesedaran tentang perkhidmatan dan bantuan disediakan kerajaan, sehingga menyebabkan mereka bankrap pada usia muda.

“Perkara ini tidak akan berlaku, sekiranya mereka tampil ke AKPK atau MdI, dan mengambil tindakan awal, mereka juga sekurang-kurangnya tidak mengalami masalah dihalang ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, mengenai penganjuran program ‘Memperkasa Informasi Generasi Muda’ tersebut, Nancy berkata, ia amat wajar dalam menyalurkan maklumat berhubung usaha dan kemudahan yang disediakan kerajaan dengan tepat kepada belia.

Menurutnya, ilmu yang diperoleh daripada program itu dapat menangkis penyebaran maklumat tidak sahih yang diterima masyarakat, lebih-lebih lagi pada zaman penggunaan media sosial yang semakin meluas ketika ini.-Bernama
579 Belia Muflis Kerana Bebanan Hutang 579 Belia Muflis Kerana Bebanan Hutang Reviewed by Unknown on October 20, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.