Rakyat Malaysia berharap kerajaan akan memperkenalkan langkah-langkah pengawalan harga rumah yang lebih baik, sistem pengangkutan awam lebih cekap serta lebih banyak skim perumahan kos rendah dan mampu milik dalam Bajet 2015, demikian penemuan kajian dalam talian oleh peneraju portal hartanah Malaysia, iProperty.com.
iProperty berkata, ini bukan suatu yang memeranjatkan kerana responden berpandangan paras harga hartanah sekarang sangat mahal dan tidak mampu dibeli.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif iProperty, Georg Chmiel berkata kenaikan harga hartanah, peraturan pinjaman perumahan lebih ketat oleh bank, ditambah lagi dengan pemansuhan Skim Pemaju Tanggung Faedah, semakin menyukarkan pembeli, terutama pembeli rumah pertama, untuk memiliki hartanah.
"Justeru, tidak memeranjatkan apabila rakyat Malaysia menggesa kerajaan memperhebat usaha mereka membina lebih banyak perumahan mampu milik di lokasi strategik selain sistem pengangkutan lebih baik dalam Bajet 2015," kata Chmiel dalam kenyataan.
Beliau berkata, dengan mengambil kira populasi dan tenaga kerja Malaysia yang agak muda, pertambahan perbandaran serta kecenderungan memiliki kediaman, wujud permintaan tinggi untuk hartanah kediaman di pusat-pusat bandar utama yang berharga bawah RM500,000.
Katanya, dengan permintaan sebegitu tinggi, kerajaan seharusnya meneliti untuk memberi lebih banyak insentif kepada pemaju membina hartanah dalam bajet kali ini sekali gus membantu menampung permintaan pembeli hartanah.-Bernama
Bajet 2015: Rakyat Desak Kerajaan Kawal Harga Rumah Dengan Baik
Reviewed by Unknown
on
October 01, 2014
Rating:
No comments: