SIBU: Hajat seorang ahli perniagaan di sini mengerjakan umrah tidak kesampaian selepas beliau dipercayai ditipu RM30,400 oleh seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai ‘Haji Ahmad’ di sini.
Menurut pengadu, 64, beliau berkenalan dengan lelaki Indonesia itu di Pasar Sentral di sini pada September tahun lalu.
Katanya, mereka bersembang mengenai pakej umrah tempatan yang lebih rumit jika dibandingkan dengan pakej umrah di Indonesia yang kononnya lebih cepat.
Pengadu juga diberitahu oleh ‘Haji Ahmad’ bahawa anaknya yang dikenali sebagai ‘Maliha’ dan kononnya bekerja sebagai duta di Mekah boleh menguruskan pakej menunaikan haji dengan mudah.
Teruja dengan kata-kata ‘Haji Ahmad’ itu, pengadu bersetuju dengan tawarannya mengerjakan umrah.
Pada November tahun lalu, ‘Haji Ahmad’ meminta pengadu memasukkan wang sejumlah RM6,000 ke dalam akaun atas nama ‘Maliha,’ selain memberi wang tunai RM13,800 kepada ‘Haji Ahmad’ semasa berada di rumahnya di Kampung Sentosa di sini.
Katanya, semasa ‘Haji Ahmad’ berada di Sibu awal bulan ini, beliau juga memberitahunya bahawa tarikh bertolak ke Mekah ialah kelmarin, 29 September.
Ketika itu, ‘Haji Ahmad’ juga meminta sejumlah RM2,800 daripadanya untuk urusan membuat visa.
Sebelum suspek pulang ke Indonesia pada 11 September lalu, beliau berjanji untuk datang semula ke Sibu pada 14 September agar mereka boleh bertolak bersama ke Indonesia.
Namun, batang hidung ‘Haji Ahmad’ tidak kelihatan pada tarikh dijanjikan.
Pengadu cuba menghubungi ‘Haji Ahmad’ namun telefon yang dihubungi tidak berfungsi sehingga sekarang.
Usaha mengesan ‘Haji Ahmad’ juga menemui jalan buntu.
Pengadu kemudian membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu oleh ‘Haji Ahmad.’ - UB
Bakal Haji Di Tipu RM30,400 Oleh "Haji Ahmad"
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 01, 2014
Rating:
No comments: