Jasad seorang daripada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, Meling Mula yang dijadualkan tiba di Bintulu pada Jumaat akan disemadikan di tanah perkuburan Batu 2, Jalan Bintulu-Miri, Sabtu ini.
Isteri mendiang, Simbut Kedit berkata, sejurus selepas tiba di sini, jasadnya akan dibawa ke kediaman mereka di Flat Sungai Plan, Tanjung Kidurong dan seterusnya ke Dewan Sungai Plan untuk urusan penghormatan terakhir.
"Saya belum lagi dimaklumkan waktu sebenar jasad suami saya akan tiba di Lapangan Terbang Bintulu tetapi setelah menanti sekian lama saya bersyukur akhirnya jasad mendiang dapat dibawa kembali ke Bintulu," katanya kepada Bernama pada Khamis.
Simbut meminta kerjasama semua media untuk menghormati privasi keluarga apabila jasad dibawa ke kediaman mereka dengan tidak membuat sebarang liputan di sana nanti.
"Saya memohon kerjasama media untuk menghormati privasi keluarga kami tetapi media boleh membuat liputan di Dewan Sungai Plan," katanya.
Simbut berkata, setakat ini belum ada keputusan dibuat sama ada mahu kembali ke kampung halaman sendiri atau mencari pekerjaan untuk menyara hidup.
"Tumpuan kini ialah untuk memastikan anak-anak saya terus bersekolah," katanya sambil menambah setakat ini beliau belum menerima sebarang bantuan daripada kerajaan setelah suaminya disahkan turut terkorban daam tragedi malang itu.
Mendiang Meling ialah pekerja luar pantai untuk syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur dan telah bertugas dua tahun enam bulan di luar negara.-BERNAMA
Balu Mangsa #MH17 Mohon Privasi Dari Media
Reviewed by Unknown
on
October 02, 2014
Rating:
No comments: