TUJUH tahun selepas ibunya, Benazir mati ditembak, waris dinasti politik Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari kini sudah bersedia untuk bergiat aktif dalam politik dan berikrar memulihkan Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang pernah dipimpin ibunya.
Semangat perjuangannya terserlah membara terutama dalam temu ramah pertama sejak kemunculannya pada perhimpunan mingguan yang dihadiri ratusan ribu penyokong, baru-baru ini.
Bilawal yang mendapat pendidikan di Oxford berkata beliau merancang untuk mengadakan beberapa siri perhimpunan bagi mencabar Perdana Menteri, Nawaz Sharif.
"Seperti ahli politik lain, seperti ketua mana-mana parti politik, kami bercadang untuk memperluaskan sokongan dan mendapat lebih banyak kerusi," kata pemimpin parti berusia 26 tahun itu.
PPP memerintah Pakistan dari 2008 hingga 2013. Parti itu kemudian menghadapi beberapa kes di mahkamah berhubung rasuah.
Ia dipinggirkan dalam pilihan raya umum tahun lalu berikutan imej dan dasarnya yang tidak disenangi rakyat.
Kemunculan Bilawal sebagai ketua pembangkang memberi nafas baharu kepada PPP dan membimbangkan Sharif.
Kerajaan yang ada sekarang juga kini menghadapi bantahan diketuai bekas bintang kriket, Imran Khan dan ulama, Tahir ul-Qadri.
"Kumpulan ini mahu mewujudkan pemerintahan diktator di Pakistan," katanya merujuk kepada bantahan Khan dan Qadri.
Tegasnya, Pakistan sudah melalui zaman berkenaan dan kini sebuah demokrasi dan memerlukan peralihan kuasa awam.
Bilawal tidak bertanding dalam pilihan raya 2008 kerana usianya yang masih muda dan bergantung pada pengundi muda untuk menyokongnya.
"Kira-kira 60 peratus penduduk Pakistan adalah muda ...dan sudah tentunya saya, pada usia 26 tahun, fikiran saya adalah selari dengan mereka, lebih daripada mana-mana pemimpin Pakistan lain," katanya.
Bilawal juga menegaskan bahawa perjuangannya berkisar pada usaha untuk membasmi kemiskinan.
Selain usianya yang muda, Bilawal mempunyai latar belakang sejarah kekeluargaan yang masih menjadi ingatan ramai di Pakistan.
Ibunya, Benazir dibunuh pada satu perhimpunan ketika kempen pilihan raya pada 2007, dan datuknya, Zulfikar Ali Bhutto digantung oleh diktator tentera pada 1979.
Sehingga kini pembunuh Benazir tidak dapat dikesan dan siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati pihak berkuasa Pakistan gagal melindungi Benazir atau menyiasat kematiannya dengan sempurna.
Namun Benazir kekal sebagai simbol yang kuat dan ramai menganggap beliau mati syahid. Lapangan terbang ibu negara Pakistan itu dan skim bantuan kewangan kepada keluarga miskin dinamakan mengambil sempena namanya.
Selepas ibunya terbunuh, ayahnya, Asif Ali Zardari, kembali dari pembuangan diri pilihan sendiri dan bertanding dalam pilihan raya.
Beliau kekal sebagai pengerusi bersama PPP dengan anaknya. -BH
Bilawal Bhutto Ingin Kembali Dalam Politik Pakistan
Reviewed by Unknown
on
October 24, 2014
Rating:
No comments: