BAMAKO: Mali mencatat kes pertama Ebola lewat semalam, sekali gus memberi tekanan terbaharu kepada usaha Afrika Barat untuk mengekang merebaknya virus maut itu yang kini menjejaskan enam negara serta meragut hampir 5,000 nyawa.
Menteri Kesihatan Mali, Ousmane Kone membuat pengumuman itu menerusi siaran televisyen Mali berkata, mangsa adalah kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang pulang dari melawat negara jiran, Guinea yang sudah mencatat epidemik Ebola bermula Disember tahun lalu.
"Kanak-kanak itu menjalani ujian virus berkenaan pada Rabu lalu di sebuah hospital di Bandar Kayes, kira-kira 600 kilometer dari ibu negara, Bamako.
"Kanak-kanak yang sakit dan mereka yang mempunyai hubungan dengannya di Kayes dengan segera sudah dikenal pasti dan kami sedang mengawalnya," kata Kone.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu lalu berkata, Ebola kini sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 4,877 orang dan 9,936 dijangkiti di negara Barat Afrika.
Hampir kesemua kes jangkitan dan kematian Ebola adalah membabitkan tiga negara iaitu Liberia, Sierra Leone dan Guinea.
Selain Mali sebagai negara terbaharu, negara jirannya Senegal juga mencatatkan kes Ebola menerusi jangkitan dari Guinea. - AP
Mali Catat Kes Pertama Ebola
Reviewed by Unknown
on
October 24, 2014
Rating:
No comments: