SERIAN: Penduduk pribumi Sarawak mempunyai banyak tanah tetapi mereka tidak boleh dengan yakin mengatakan tanah itu adalah milik sendiri melainkan mereka memiliki dokumen ke atas tanah berkaitan secara sah.
Menegaskan perkara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin semalam mengulangi bahawa adalah sangat penting dan perlu untuk semua tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) diukur dan diberi surat hak milik.
“Oleh itu, kerajaan memperkenalkan Inisiatif Baharu NCR untuk melindungi pemilik tanah dan memastikan mereka tidak akan kehilangan hak ke atas tanah sendiri pada masa akan datang.
“Malah, kerajaan persekutuan pada mulanya telah memperuntukkan sejumlah RM60 juta dan menambah RM30 juta pada tahun ini untuk menjalankan inisiatif tersebut,” katanya.
Menurut Manyin, saiz tanah NCR di negeri ini adalah kira-kira 1.5 juta hektar dan pastinya, proses keseluruhan pengukuran dan pengeluaran surat hak milik akan memerlukan masa yang lama dan jumlah wang yang besar.
“Proses ini tidak dapat dilakukan dengan cepat tetapi kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Survei akan memastikan bahawa semua tanah NCR disukat dan dikeluarkan surat hak milik,” jelasnya.
Manyin menyatakan demikian pada Majlis Pelancaran Program Penyukatan Perimeter Tanah NCR di kawasan-kawasan dalam Daerah Serian di Kampung Pichin di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa keseluruhan proses inisiatif NCR akan mengambil masa tetapi selagi kajian perimeter telah dijalankan, tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh para pemilik tanah.
“Ini kerana setelah selesai pengukuran perimeter, tanah yang disahkan telah diduduki atau dibersihkan oleh penduduk pribumi pada atau sebelum 1 Januari 1958 akan diwartakan sebagai tanah komunal asli.
“Surat hak milik kemudian akan dikeluarkan sebagai bukti bahawa tanah itu dimiliki oleh masyarakat,” katanya.
Manyin menambah inisiatif tersebut adalah satu proses berterusan yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak 2010.
Sementara itu, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Samarahan Rozlan Putit berkata sejak inisiatif NCR diperkenalkan pada 2010, sebanyak 15 bahagian yang merangkumi kawasan seluas kira-kira 6,000 hektar telah diukur dan diwartakan.
“Pada Mei tahun ini, Jabatan Tanah dan Survei Samarahan telah mendapat kelulusan untuk melakukan pengukuran perimeter tanah NCR di Daerah Serian iaitu kira-kira seluas 65,000 hektar.
“Kawasan ini merangkumi kira-kira 90 buah kampung yang kebanyakannya Bidayuh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon kepada penduduk kampung serta pemilik tanah agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan kerja penyukatan perimeter tersebut dijalankan dengan lancar. - UB
Dokumen Hak Milik Bukti Pemilikan Tanah, kata Manyin
Reviewed by JANUARIUS
on
October 01, 2014
Rating:
No comments: